suria

SJKT Seaport Hanya Dipindah, Bukan Ditutup - Kamalanathan

Kamalanathan menyampaikan ucapannya kepada ibu bapa murid SJKT Seaport ketika melakukan lawatan ke sekolah itu pada Rabu.- fotoBERNAMA
Kamalanathan menyampaikan ucapannya kepada ibu bapa murid SJKT Seaport ketika melakukan lawatan ke sekolah itu pada Rabu.- fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil)(SJKT) Seaport tidak ditutup sebaliknya dipindahkan ke lokasi baharu, kata Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan.

Beliau berkata jumlah keseluruhan sekolah Tamil masih kekal 523 buah, termasuk SJKT Seaport yang dipindahkan ke Kampung Lindungan di sini.

"Sekolah ini dipindahkan berikutan tapak lama SJKT Seaport tidak dapat dibuat pembangunan (naik taraf sekolah) kerana tanah itu dimiliki beberapa pihak termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

"Jadi, saya ingin memberi peringatan kepada pihak tertentu agar tidak terus menyebarkan berita tidak benar bahawa sekolah ini ditutup," katanya selepas melawat sekolah dan bertemu ibu bapa serta penjaga murid di tapak sekolah baharu itu, Rabu.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Selangor Datuk Mahmud Karim dan Guru Besar sekolah, M. Panginiammal.

SJKT Seaport baharu yang dibina kira-kira tiga kilometer dari lokasi lama memiliki satu blok bangunan empat tingkat dan mula digunakan awal bulan ini melibatkan 170 murid dan 16 guru.

Beberapa portal berita sebelum ini melaporkan 23 murid SJKT Seaport memulakan sesi persekolahan di bawah pokok di sebuah tanah lapang dengan mendakwa sekolah itu ditutup secara tiba-tiba sebelum sesi persekolahan tahun ini bermula.

Kamalanthan berkata ibu bapa dan penjaga kumpulan murid itu perlu segera memasukkan anak-anak mereka ke sekolah bagi mengelakkan masalah seperti murid terlepas untuk didaftarkan sebagai calon UPSR atau mengambil peperiksaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain