suria

Biro Politik Bincang Isu Azmin Selasa Malam

PETALING JAYA: Isu pengguguran Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali sebagai ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dijangka akan dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik parti itu pada Selasa malam.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty ketika mengesahkan mengenai mesyuarat berkenaan bagaimanapun berkata, beliau tidak mengetahui mengenai agenda mesyuarat tersebut.

"Kebiasaannya mesyuarat Biro Politik diadakan pada Selasa malam, jadi malam esoklah. Tapi mengenai agenda mesyuarat, saya masih belum tahu, kena tanya setiausaha agung," katanya kepada mStar Online pada Isnin.

Bagaimanapun Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution ketika dihubungi berkata beliau kini masih bercuti.

"Saya belum ada maklumat, saya sedang bercuti," katanya.

Terdahulu ini Setiausaha PKR Selangor, Amirudin Shari memberitahu mStar Online bahawa kepimpinan parti itu di peringkat negeri mahu campur tangan segera Biro Politik PKR berhubung isu melibatkan kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Amirudin, keputusan Abdul Khalid menggugurkan kedudukan Mohamed Azmin dalam PKNS serta kesediaan kerajaan negeri menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan mengenai isu air di negeri itu dibuat dengan membelakangkan kepentingan parti.

Pengguguran Mohamed Azmin daripada PKNS berkuatkuasa 10 Januari lalu dilihat banyak pihak sebagai perang politik antara kedua-dua pemimpin berpengaruh itu.

Keputusan itu juga dianggap sebagai tindakan drastik Abdul Khalid dalam usaha 'menyepit sayap' Ahli Parlimen Gombak dan Adun Bukit Antarabangsa itu menjelang pemilihan parti pertengahan tahun ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain