suria

Henti Buat Spekulasi Punca Kebakaran Rumah Ahli Perniagaan

KUALA LUMPUR: Polis menggesa pihak media dan orang ramai supaya berhenti membuat spekulasi bahawa kebakaran rumah teres dua tingkat di Pandan Perdana berlaku akibat tindakan bunuh diri.

Mayat ahli perniagaan Ng Chee Wai,52, dan anak perempuannya yang separa sedar, Ng Qi Jang, 17, ditemui dalam sebuah bilik di tingkat dua oleh anggota bomba pada petang Ahad.

Qi Jang dilaporkan ditemui dengan kesan kelar di pergelangan tangannya yang membawa kepada spekulasi cubaan membunuh diri.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Komisioner Khairuldin Saad berkata kesan itu mungkin berlaku ketika gadis itu cuba melarikan diri daripada kebakaran.

"Kami percaya mangsa cuba melarikan diri melalui jeriji tingkap, tetapi gagal.

"Kami sedang menunggu laporan penuh daripada pasukan bomba dan penyelamat yang terlibat dalam memadamkan kebakaran.

"Selagi kita tidak dapat menentukan punca sebenar kebakaran itu, kami menasihatkan akhbar dan orang awam menghentikan spekulasi mereka mengenai perkara itu," katanya, Isnin.

Menurut beliau keputusan bedah siasat mendapati ahli perniagaan itu mati akibat melecur teruk dan lemas dalam asap tebal.

"Kes ini sedang disiasat sebagai kematian mengejut (SDR)," kata Khairuldin.

Sementara itu, remaja berkenaan masih dalam keadaan kritikal dan dirawat di Hospital Ampang.

Beliau menambah bahawa polis sentiasa berkerjasama dengan anggota bomba untuk mengenal pasti punca kebakaran.

Dipercayai si ​​mati telah bercerai dan tinggal di rumah dengan anak perempuannya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain