suria

Pengguguran Azmin Sengketa Lama

KLANG: Persengketaan lama antara Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali dilihat kembali memuncak apabila Menteri Besar itu menggugurkan Timbalan Presiden Parti Keadilan (PKR) berkenaan daripada jawatan ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Walaupun sumber PKNS mendakwa keputusan tersebut untuk 'mengukuhkan' perbadanan itu, pengikut setia Mohamed Azmin sebaliknya mendakwa keputusan itu bertujuan melemahkan pemimpin berkenaan menjelang pemilihan parti tahun ini.

"Pengguguran (Mohamed) Azmin adalah satu keputusan perniagaan untuk mengukuhkan kedudukan penyumbang ekonomi terbesar negeri ini," tegas sumber PKNS itu.

Bagaimanapun ternyata penyokong Azmin menolak alasan ini dengan mendakwa Abdul Khalid bertindak dengan sewenang-wenangnya untuk menghapuskan musuh politiknya.

Sehubungan itu mesyuarat khas dijangka akan diadakan di Ibu Pejabat PKR pada Ahad malam bagi membincangkan mengenai kedudukan Mohamed Azmin dan beberapa isu lain di Selangor.

Salah seorang daripada mereka berkata Mohamed Azmin selalu memberikan tekanan kepada Menteri Besar ketika mesyuarat ahli lembaga pengarah.

"Azmin bertanya banyak soalan dan sering mencabar kenyataan dan keputusan Khalid yang diputuskan dalam mesyuarat.

"Itulah sebabnya beliau digugurkan," katanya.

Seorang lagi penyokong Mohamed Azmin berkata: "Jika anda seorang ahli politik, adalah penting untuk anda memegang jawatan dalam syarikat atau organisasi berkaitan kerajaan untuk mendapatkan pengaruh.

"Apa yang Tan Sri (Abdul Khalid) lakukan adalah untuk sekat sayap Azmin sebelum pemilihan PKR."

Tambahnya Abdul Khalid juga menghantar mesej kepada ahli akar umbi parti bahawa beliau lebih berkuasa daripada Timbalan Presiden PKR itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain