suria

Elak Helang, Angin Kuat Punca Pesawat Terhempas

Sharifah Hatun, ibu kepada salah seorang mangsa, Syed Haidhar Syed Zulkifli, ketika bercakap kepada pemberita di Hospital Selayang pada Sabtu. - AZMAN GHANI / The Star
Sharifah Hatun, ibu kepada salah seorang mangsa, Syed Haidhar Syed Zulkifli, ketika bercakap kepada pemberita di Hospital Selayang pada Sabtu. - AZMAN GHANI / The Star

KUALA LUMPUR: Pesawat Cessna 172 yang terhempas di kawasan Empangan Batu, Ulu Yam semalam dipercayai ada kaitan dengan percubaan mengelak dua burung helang ketika terbang dalam keadaan angin kencang.

Perkara itu diceritakan Syed Haidhar Syed Zulkifli, seorang dari tiga mangsa yang terselamat dalam kejadian itu, kepada ibunya Sharifah Hatun Hanisah Syed Abd Rahman yang menemuinya di Wad Kecemasan Hospital Selayang di sini, Sabtu.

"Menurut anak saya, semasa mengelak (burung helang) tiba-tiba datang angin kencang yang membuatkan pesawat hilang imbangan," kata Sharifah Hatun ketika ditemui pemberita di hospital itu.

Tiga mangsa pesawat Cessna 172 dari Kelab Penerbangan Diraja Selangor (KPDS) ditemui selamat pada Sabtu setelah pesawat tersebut terhempas di kawasan Empangan Batu selepas dilaporkan hilang di sekitar Batu Caves kira-kira 5 petang Jumaat.

Mereka ialah Kapten Saiful Farid Amri Amrizal, 22; Syed Haidhar, 25; dan Shaiful Zafiq Razali, 24.

Sharifah Hatun bersyukur kerana anaknya terselamat dalam insiden itu disebabkan kecekapan juruterbang mengendali pesawat dalam keadaan kritikal.

"Kata anak saya ketika itu juga angin kuat dan pesawat tidak dapat berbuat apa-apa namun pilot amat cekap kerana dapat mendaratkan pesawat itu ke tempat selamat," katanya.

Beliau kesal dengan media tertentu yang menyebarkan berita palsu di internet kononnya anaknya dan dua lagi maut dalam insiden tersebut.

"Sudahlah saya ada penyakit jantung ada pihak tidak bertanggungjawab membuat andaian awal dalam internet mengenai kejadian pesawat terhempas," katanya.

Beliau berkata insiden itu tidak meruntuhkan semangat anak sulungnya daripada empat adik-beradik itu untuk menjadi juruterbang.

Malah anaknya itu yang begitu meminati dunia penerbangan sejak kecil akan tetap mencukupkan kredit jam penerbangan latihannya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Selayang Dr Siti Zaleha Mohd Salleh ketika dihubungi berkata seorang daripada tiga mangsa nahas pesawat Cessna berada dalam keadaan kritikal manakala dua lagi berada di dalam keadaan semi-kritikal.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti mangsa yang kritikal dan semi-kritikal. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain