suria

Esscom Peroleh 150 Jawatan Baharu Mantapkan Operasi

LAHAD DATU: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan sebanyak 150 jawatan baharu bagi memantapkan operasi Kawasan Keselamatan Timur Sabah (Esscom) yang bertanggungjawab menyelaras pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan, khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Ketika mengumumkan perkara itu, Ketua Pengarah Esscom, Datuk Mohammad Mentek berkata, jawatan baharu itu yang membabitkan pelbagai komponen perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta awam yang ditempatkan di Esscom akan diisi sebaik sahaja waran daripada perbendaharaan dikeluarkan.

"Kami berharap semua jawatan baharu itu dapat diisi dengan segera dan seterusnya kami dapat melaksanakan program dirancang selaras dengan pelan perancangan strategi kami," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan kepada staf Esscom sempena tahun baharu di pejabat baharu Esscom di Kompleks Komersial Horbour Town, dekat sini Jumaat.

Sebelum ini, ibu pejabat Esscom beroperasi menggunakan kabin di Pangkalan Polis Marin, Lahad Datu.

Mohammad berharap pewujudan jawatan baharu itu dapat meningkatkan lagi keberkesanan fungsi Esscom, sekali gus menjayakan pelbagai program yang dirancang tahun ini dengan teratur, terancang dan lebih efisien.

Pada masa sekarang, Esscom hanya mempunyai 48 jawatan pelbagai peringkat termasuk ketua pengarah yang diluluskan oleh JPA.

Beliau berkata, bagi mencapai misi penubuhan Esscom, pihaknya telah merangka pelbagai strategi bermula daripada penubuhannya dan dalam bulan Disember tahun lepas telah melihat semula pelan strategi dengan tujuan untuk memantapkannya selaras dengan cabaran dan evolusi yang berlaku dalam Esscom.

"Pada mulanya, Esscom hanya bertindak sebagai kumpulan pemikir, penyelaras dan sebagai penasihat dalam soal keselamatan di pantai timur Sabah.

"Kita sedia maklum, kini Esscom diberi peranan untuk mengendalikan operasi dua batalion tentera (Briged Esscom) yang beroperasi di Gugusan Felda Sahabat atau sekitar Gugusan Tanjung Labian (Lahad Datu), dan pada bulan ini dua lagi Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) diletakkan di bawah pengawasan Esscom yang pasukan ini sedikit sebanyak memperlihatkan kita telah mengorak langkah dalam operasi itu sendiri," katanya.

Mohammad berkata, ini merupakan satu tanggunjawab tambahan untuk Esscom terutama dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata sejak insiden pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo Felda Sahabat pada Februari tahun lepas, tiada isu percerobohan baharu yang berlaku sehingga ke hari ini.

"Secara amnya, keselamatan masyarakat di Sabah khususnya di kawasan Esszone terkawal dan selamat meskipun ada cubaan atau laporan mengenai cubaan pihak tertentu untuk memasuki negeri ini," katanya.

Dalam hal ini, Mohammad berkata Esscom telah melancarkan Ops Gasak 1 dan Gasak 2 dalam usaha membersihkan pulau-pulau, khususnya pusat peranginan di Semporna daripada pendatang asing tanpa izin (Pati).

Menurutnya Ops Gasak 1 dilancarkan pada 24 November tahun lepas di Pulau Mabul, Kapalai dan Pom Pom yang menyaksikan lapan orang ditangkap kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, diikuti Ops Gasak 2 di Pulau Kalapuan yang berjaya menahan 20 individu tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Mohammad berkata, operasi seumpama itu akan diteruskan di pulau-pulau yang lain termasuk di Sandakan.

Kawasan Esszone merangkumi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Merudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak , Semporna dan Tawau.

Penubuhan Esscom diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa melawat Lahad Datu pada 7 Mac lepas bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur negeri ini susulan pencerobohan kumpulan pengganas Sulu di Kampung Tanduo pada Februari tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain