suria

Seorang Kontraktor Hilang Ketika Cari Remis Di Marang

MARANG: Seorang kontraktor dikhuatiri lemas ketika berenang di pantai Kampung Pasir Putih, di sini Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa Abidin Ahmad, 39, yang berasal dari Bandar Cheneh Baru Kemaman bersama dua pekerjanya pergi ke pantai berkenaan untuk mandi dan mencari remis.

Namun, ketika dua pekerjannya itu sedang asyik mengutip remis, mangsa dikatakan berenang ke tengah lautan sebelum hilang setelah beberapa kali dipukul ombak besar.

Pekerjanya Che Mas Yasin, 42, berkata majikannya itu beria-ia mengajaknya mandi di pantai berkenaan namun mereka enggan dan hanya bermain di gigi air sahaja.

"Saya sudah melarangnya (Abidin) mandi ke tengah laut namun dia tetap ke tengah dan tidak sampai satu minit melarangnya, tiba-tiba saya dipukul beberapa ombak besar," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini.

Sementara, rakannya Ghazali Mat Salleh, 25, dari Bagan Serai, Perak yang turut hampir lemas, berjaya diselamatkan.

Dalam pada itu Penolong Pengarah Operasi Bomba negeri Khairul Ariffin berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa dihentikan pukul 8 malam Jumaat dan akan disambung semula pada 8 pagi, Sabtu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain