suria

Guan Eng Kini Naik Mercedes

Lim Guan Eng tiba di sebuah hotel di Pulau Pinang menaiki kereta baharu Mercedes-Benz S300L yang dibeli kerajaan negeri dengan harga RM298,263.75.
Lim Guan Eng tiba di sebuah hotel di Pulau Pinang menaiki kereta baharu Mercedes-Benz S300L yang dibeli kerajaan negeri dengan harga RM298,263.75.

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kini menggunakan kereta rasmi jenis Mercedes-Benz S300L bernilai RM657,218.

Pegawai Kewangan negeri, Datuk Mokhtar Mohd Jait bagaimanapun berkata, kereta itu dibeli dengan harga istimewa bernilai RM298,263.75.

Menurut Mokhtar, di bawah kelayakan Ketua Menteri, Lim berhak menggunakan dua buah kereta Mercedes-Benz S400 dan Mercedes-Benz S300 namun beliau kini hanya menggunakan sebuah kereta Toyota Camry 2.5.

"Oleh itu kereta Toyota Camry 2.5 yang digunakan oleh Ketua Menteri sekarang ini akan diberikan kepada Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Maktar Shapee," katanya menerusi kenyataan akhbar di sini.

Selain itu menurut Mokhtar, sebelum ini Lim dan ahli-ahli EXCO enggan membeli 15 buah kereta Mercedes kerana pembayaran cukai yang melebihi kos kereta adalah terlalu tinggi.

Jelasnya pembekal kereta Mercedes Benz juga tidak berani mengeluarkan surat jaminan untuk mengambil balik semua kereta sekiranya pengecualian cukai tidak diperolehi.

Oleh yang demikian kerajaan negeri mengambil keputusan untuk membeli 15 buah kereta Toyota Camry 2.5 yang tidak dikenakan cukai dan kesemua kenderaan itu telahpun diserahkan kepada kerajaan negeri pada 31 Oktober tahn lalu.

"Namun selepas pembelian kereta Toyota Camry, pihak pembekal kereta Mercedes telahpun memberikan pengesahan pada 20 November lalu untuk menawarkan sebuah kereta S300L dengan harga RM298,263.75.

"Harga ini adalah dipotong cukai dan juga diberikan diskaun khas RM100,000. Lagipun pembekal kereta Mercedes memberikan jaminan bahawa kerajaan negeri tidak perlu membeli kereta tersebut dan boleh dikembalikan kepada pembekal sekiranya pengecualian cukai tidak diperolehi," katanya.

Justeru katanya mesyuarat EXCO pada 20 November lalu memutuskan secara sebulat suara untuk membeli kereta Mercedes S300L.

Katanya ia berdasarkan perbezaan besar di antara harga asal iaitu RM657,218 dengan harga diskaun RM298,263.75.

"Ia dianggap berbaloi kerana kereta Mercedes memang bertahan lama sama seperti kereta Mercedes Benz S320L yang dipakai zaman bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang digunakan sejak dibeli pada 4 September 1995.

"Lagipun harga pembelian kereta lama Mercedes Benz S320L itu adalah sebanyak RM 271,331.22 pada tahun 1995, iaitu harga 18 tahun dahulu, yang tidak banyak beza dengan harga baru sekarang," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain