suria

Malaysia Mampu Capai Kejayaan Lebih Besar Jika Rakyat Jaga Imej Negara - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor (dua, kiri) ketika bertawaf mengelilingi Kaabah bagi menyempurnakan ibadah Umrah di Mekah pada Isnin. Beliau mengadakan lawatan kerja empat hari ke Arab Saudi bermula 21 hingga 24 Disember ini. -Foto BERNAMA

MAKKAH: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia mampu mencapai kejayaan lebih besar jika rakyat yang berada di luar negara atas apa jua urusan sentiasa menjaga nama baik dan imej negara.

Perdana menteri berkata cita-cita kerajaan menjadikan Malaysia negara Islam yang berjaya, moden dan progresif tetapi tetap berpaksi kepada syariat Islam, terbukti berjaya dengan penglibatan rakyat di luar negara.

Rakyat Malaysia telah membuktikan kemampuan di luar negara dengan penyertaan mereka dalam projek raksasa seperti projek pembesaran Masjidil Haram dan Menara Jam Diraja Makkah atau Abraj Al-Bait setinggi 602 meter, katanya.

"Oleh itu, jika kita terus bersama-sama dan kekal bermuafakat dan bersatu sebagai umat Islam, sudah pasti akan mencapai kejayaan lebih cemerlang pada masa akan datang," katanya semasa bertemu dengan rakyat Malaysia di Restoran Felda D'Saji di sini.

Adalah menjadi harapan beliau, tegasnya, agar rakyat Malaysia yang berada di sini atas urusan perniagaan dan mengerjakan ibadat haji atau umrah supaya menjaga nama baik dan imej negara.

"Mereka (warga Arab Saudi) di sini meletakkan kita di tangga (kedudukan) yang begitu tinggi dari segi pandangan mereka terhadap kita dan sebut sahaja nama Malaysia, kita dapat lihat mereka menyambut kehadiran kita dengan baik," kata Najib.

Beliau berkata mereka (Arab Saudi) begitu senang hati menerima rakyat Malaysia sebab imej yang dipamerkan rakyat yang menghormati undang-undang dan peraturan negara mereka selain hubungan antara rakyat dengan rakyat.

Najib berkata mereka melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya. "Oleh itu, saya harap bawa diri dengan baik dan jangan buat angkara membuatkan mereka tidak senang terhadap Malaysia dan boleh merosakkan nama baik negara pada pandangan mereka.

"Dalam mencari rezeki, belajar atau mengerjakan ibadat haji tunjukkanlah pembawaan diri yang baik dan jadikan mereka sebagai sahabat dan saudara kita dan dengan ini ia dapat memudahkan urusan pada masa akan datang," kata perdana menteri.

Mengenai Restoran D'Saji yang terletak berhampiran Masjidil Haram, Najib berkata perniagaan yang dikendalikan pengurusan Felda itu berkembang dengan baik.

Pembukaan restoran itu adalah idea beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab atas pengurusan Felda.

Selain mencapai matlamat dalam perniagaan, kerajaan mahu memperkenalkan Malaysia melalui restoran itu dalam kalangan umat Islam negara lain kerana ia juga menjadi tumpuan rakyat asing, kata perdana menteri.

"Di sini, tempat (restoran) ini saya kira amat sesuai bagi memperkenalkan Malaysia kepada rakyat Islam negara-negara lain," katanya.

Selain matlamat perniagaan akan tercapai, pada masa yang sama imej Malaysia akan lebih terserlah melalui Restoran D'Saji ini, kata Najib. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain