suria

Hubungan Asean-Jepun Capai Perkembangan Penting

TOKYO: Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Jepun yang menandakan ulang tahun ke-40 hubungan Dialog Asean-Jepun merupakan satu lagi peristiwa penting dalam hubungan antara perkumpulan serantau dan ekonomi ketiga terbesar di dunia.

Sidang kemuncak itu telah menetapkan masa depan bagi Asean dan Jepun dalam menghadapi cabaran bersama dan menekankan komitmen mereka untuk kerjasama dan perkongsian yang lebih kukuh.

Ia meliputi bidang yang lebih luas termasuk: keamanan dan keselamatan, keselamatan maritim, perdagangan dan pelaburan, sains dan teknologi, pertanian, keselamatan tenaga, pembangunan sosial budaya dan pendidikan.

Komitmen mereka di perhimpunan pemimpin itu diterjemahkan melalui 'Pernyataan Visi mengenai Persahabatan dan Kerjasama Asean-Jepun - Perkongsian Visi, Perkongsian Identiti, Perkongsian Masa Depan yang mengandungi empat bidang perkongsian iaitu Perkongsian untuk Keamanan dan Kestabilan, Perkongsian untuk Kemakmuran, Perkongsian untuk Kehidupan Berkualiti dan Perkongsian antara Hati ke Hati.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan perkongsian itu akan menentukan hala tuju masa depan hubungan Asean-Jepun.

Perkongsian kerjasama Asean dan Jepun bermula pada tahun 1973 dengan penubuhan Forum Asean-Jepun mengenai getah sintetik. Jepun merupakan rakan dialog Asean yang pertama.

Sejak itu, Asean dan Jepun telah menjalinkan kerjasama erat ke arah keamanan, kestabilan, pembangunan dan kemakmuran di rantau ini dengan penekanan terhadap kerjasama ekonomi.

Ditubuhkan pada tahun 1967, Asean atau Persatuan kumpulan Negara-Negara Asia Tenggara dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand, Filipina dan Vietnam.

Pada sidang kemuncak berkenaan, Jepun juga berikrar menyediakan US$20 bilion (US$1 bersamaan RM3.23) dalam bentuk bantuan dan pinjaman kepada anggota Asean lebih lima tahun, yang merupakan testimoni kepada hubungan yang kukuh dan panjang dengan rantau ini.

Bantuan ini dapat mengurangkan jurang pembangunan antara negara anggota Asean untuk tempoh yang panjang, terutama di kalangan negara-negara kurang membangun.

Hasil sidang kemuncak itu sekali lagi membuktikan komitmen Jepun terhadap Doktrin Fukuda yang sekian lama diamalkan, antara lain membina hubungan keyakinan dan kepercayaan dengan negara-negara Asia Tenggara dan komitmen sebagai rakan kongsi untuk membina keamanan dan kemakmuran di rantau ini.

Doktrin Fukuda, berdasarkan ikrar yang dibuat Perdana Menteri Jepun Takeo Fukuda, telah menjadi rangka tindakan rasmi mengenai dasar luar Jepun terhadap Asia Tenggara sejak tahun 1977.

'Lima Prinsip' mengenai Diplomasi Jepun terhadap Asean, yang diumumkan Perdana Menteri Shinzo Abe pada 18 Januari lepas, terus menggariskan usaha mempromosikan perdagangan dan pelaburan, kepentingan laut bebas dan terbuka sebagai aset bersama paling penting, menggalakkan pertukaran antara belia bagi memupuk persefahaman juga dilihat akan menjadi satu aspek penting dalam hubungan masa depan mereka.

Meskipun kedua-dua pihak, telah melalui masa yang panjang dan menempuh pelbagai cabaran dalam hubungan politik dan ekonomi, sidang kemuncak ini menyimpulkan bahawa tiada apa yang boleh menghentikan mereka daripada terus bekerja untuk manfaat bersama dalam banyak bidang, terutamanya keselamatan, ekonomi dan pembangunan sosial.

Rantau Asean dengan lebih daripada 600 juta penduduk, hari ini merupakan antara yang pesat membangun dari aspek ekonomi manakala di bidang politik, rantau berkenaan merupakan antara yang paling stabil dari segi politik dan ini merupakan petanda baik bagi hubungan Jepun-Asean yang lebih kuat, pada masa depan.

Ia akan sentiasa menjadi kepentingan bagi Jepun untuk melihat rantau Asean yang stabil dan makmur di mana negara matahari terbit itu mempunyai kepentingan ekonomi yang besar dan terus berkembang.

Dalam konteks ini, komitmen Asean-Jepun ialah meningkatkan lagi perkongsian ekonomi komprehensif bagi meningkatkan perdagangan Jepun dan hubungan ekonomi dengan rantau ini.

Ini antara lain dilakukan melalui pelaksanaan pelan Kerjasama Ekonomi Strategik 10 tahun Asean-Jepun.

Untuk rekod, Pelaburan Langsung Asing (FDI) dari Jepun ke Asean meningkat dengan ketara sebanyak 39 peratus daripada US$11 bilion pada 2010 kepada US$15.3 bilion pada tahun 2011.

Asean kini merupakan rakan perdagangan kedua terbesar dan FDI Jepun ke rantau ini meningkat kepada US$18.8 bilion pada tahun 2011, menjadikan Asean destinasi pilihan kedua, selepas Kesatuan Eropah bagi perusahaan syarikat Jepun.

Penekanan semula komitmen mereka meliputi pertikaian secara aman dan penolakan ancaman atau penggunaan kekerasan yang dipersetujui pemimpin dalam menekankan kedudukan Asean dan Jepun untuk menyelesaikan sebarang pertikaian secara aman.

Komitmen ini bukan sahaja akan menyumbang kepada keamanan dan keselamatan serantau tetapi juga akan membantu negara-negara yang berdepan dengan pertikaian wilayah di rantau ini untuk duduk bersama-sama bagi mencapai penyelesaian secara aman melalui dialog dan rundingan.

Memandangkan hubungan dan perkongsian Asean-Jepun tidak terhad kepada politik atau ekonomi, para pemimpin menyedari pentingnya tanggungjawab generasi muda untuk masa depan rantau ini, maka komitmen telah dizahirkan dalam bidang berkenaan.

Komitmen yang dibuat pada sidang kemuncak ini akan berterusan ke arah meningkatkan hubungan Asean-Jepun, untuk tahun-tahun akan datang.- BERNAMA

Artikel Lain