suria

Banjir Di Pahang Semakin Pulih, Mangsa Terus Berkurangan

KUANTAN: Keadaan banjir di Pahang semakin pulih dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan berkurangan kepada 3,543 setakat 8 malam Ahad berbanding 4,741 orang pada 4 petang.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, kesemua mangsa banjir daripada 875 keluarga itu ditempatkan di 35 pusat pemindahan membabitkan 47 kawasan di tiga daerah yang terjejas banjir.

Jumlah tertinggi mangsa banjir masih direkodkan di daerah Pekan iaitu 2,578 orang daripada 635 keluarga yang ditempatkan di 29 pusat pemindahan berbanding 3,602 daripada 909 keluarga di 44 pusat pemindahan pada sebelah petang.

Di Kuantan turut menunjukkan pengurangan kepada 640 orang daripada 164 keluarga di tiga pusat pemindahan berbanding 736 orang daripada 188 keluarga di empat pusat pemindahan.

Jumlah mangsa banjir di Maran kini 325 orang daripada 76 keluarga di tiga pusat pemindahan berbanding 403 orang daripada 92 keluarga di empat pusat pemindahan. - BERNAMA

Artikel Berikut

47 Ditahan Dalam Ops Tiong

Artikel Lain