suria

Dua Jurutera Rebut Jawatan No.2 Dalam MCA

Nasib Dr Wee dan Donald Lim akan ditentukan perwakilan pada pemilihan Sabtu ini.
Nasib Dr Wee dan Donald Lim akan ditentukan perwakilan pada pemilihan Sabtu ini.
Nasib Dr Wee dan Donald Lim akan ditentukan perwakilan pada pemilihan Sabtu ini.

KUALA LUMPUR: Dua jurutera bakal bersaing merebut jawatan timbalan presiden MCA pada pemilihan parti itu Sabtu ini.

Datuk Dr Wee Ka Siong merupakan seorang jurutera awam manakala Datuk Donald Lim Siang Chai adalah jurutera elektrik.

Namun, persaingan bagi merebut jawatan No.2 tertinggi itu merupakan fokus yang serius.

Kedua-duanya perlu mempunyai misi dan visi yang kukuh.

Dr Wee mungkin mempunyai kelebihan berbanding Lim dari segi kerja pembinaan dan ketinggian, tetapi mereka berada pada kedudukan sama dalam parti.

Lim dipilih memegang jawatan Naib Presiden pada 2008 manakala Dr Wee memenangi jawatan Ketua Pemuda MCA pada tahun sama.

Hakikatnya, mereka berasal dari negeri-negeri besar yang mempunyai bilangan perwakilan pusat yang ramai.

Lim, anak kelahiran Selangor dan Dr Wee berasal dari Johor, dua negeri tertinggi dari segi bilangan perwakilan pusat.

Laungan Dr Wee adalah parti itu harus berubah dan mempunyai keberanian politik untuk mempertahankan pendirian mereka terhadap beberapa perkara - berjuang demi hak masyarakat dan negara.

Ahli Parlimen Ayer Hitam selama tiga penggal itu turut menuntut keperluan untuk memupuk semangat kekitaan di kalangan ahli dengan mengatakan bahawa tahap komitmen dan kesetiaan terhadap parti seperti yang dilihat pada era 60-an, 70-an dan 80-an telah menurun secara drastik.

Seorang yang ringan tulang dan pragmatik, beliau dikenali kerana sikapnya yang sangat aktif turun gelanggang sebagai pemimpin parti atau wakil rakyat.

Dr Wee yang banyak memperjuangkan isu-isu pendidikan, terutamanya pendidikan tinggi, dikenali amat serius ketika melakukan kerja.

Sementara itu, Lim mempertaruhkan pengalaman luasnya ketika bersama parti dan kerajaan.

"Saya mempunyai pengalaman,' merupakan jawapannya kepada soalan penulis ini berhubung keputusannya untuk bertanding jawatan tersebut.

Berbekalkan tiga dekad pengalaman di dalam parti dan berkhidmat bersama empat kementerian, Lim pastinya mempunyai pengalaman untuk membantu beliau menangani pelbagai isu.

Bekas Ahli Parlimen PJ Selatan itu mempunyai kemahiran perhubungan awam yang baik dan seorang yang peramah.

Dalam pada itu, Dr Wee mempunyai hubungan baik dengan Timbalan Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai yang akan bertanding jawatan presiden.

Artikel Lain