suria

Dewan Rakyat Tolak Usul Kertas Soalan SPM Bocor, Isytihar Kuantan Darurat

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Rabu menolak usul bagi membincangkan dakwaan kebocoran kertas soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 dan mengisytihar darurat bandar Kuantan, Pahang berikutan banjir yang teruk melanda kawasan itu.

Usul itu dikemukakan oleh Wong Tien Fatt (DAP-Sandakan) dan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) selepas selesai sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata usul itu tidak perlu dibahas dan ditolak mengikut Peraturan 18 (2) kerana beliau difahamkan Kementerian Pendidikan telah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat berkaitan aduan kebocoran itu.

"Mengenai usul banjir, perkara mengenainya telah dibangkitkan dan kalau ada menteri yang bertanggungjawab mengenai banjir, saya boleh jemput untuk memberi respons kerana setahu saya setiap daerah, negeri mempunyai Jawatankuasa Bencana Alam.

"...dan oleh kerana perkara yang dibangkitkan (wakil rakyat) Kuantan adalah isu serius, maka bolehlah Yang Berhormat menteri memberi respons mengenai perkara ini," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim kemudian bangun dan menjelaskan bahawa kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MK Ntelah mula menggerakkan bantuan pagi Rabu.

Beliau berkata usaha memindahkan penduduk yang terlibat dilakukan oleh pasukan keselamatan, termasuk melalui perkhidmatan helikopter Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat membantu dari segi penyediaan makanan kepada mangsa.

"Saya juga mendapat panggilan mengenai situasi itu dan sejak semalam kita telah gerakkan pasukan memberi bantuan...selain MKN negeri, bantuan dari pusat juga turut digerakkan ke sana," katanya.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuantan, sehingga pukul 11 pagi, sebanyak 11,721 mangsa banjir ditempatkan di pusat-pusat pemindahan banjir di daerah Kuantan, Rompin, Pekan, Maran dan Jerantut.

Dalam pada itu, penolakan usul bagi membincangkan kebocoran soalan SPM mengundang perdebatan hangat setelah wakil rakyat pembangkang dan kerajaan sependapat mahu perkara itu dibahaskan demi kebaikan bersama.

Bagi G. Manivannan (PKR-Kapar) Pandikar Amin perlu memberi ruang supaya isu itu dibahaskan bagi membolehkan setiap pandangan diambil kira daripada hanya bergantung kepada pasukan khas yang ditubuhkan kerana kes kertas peperiksaan bocor berlaku hampir setiap tahun.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) juga bersetuju usul itu dibahaskan kerana kes kertas soalan bocor bukan perkara baharu selain mahu mereka yang bertanggungjawab dikenal pasti dan dikenakan tindakan.

"Ini bukan perkara baharu, tahun-tahun sebelum ini juga berlaku, bermakna ada orang yang bertanggungjawab. Jadi, kita kena cari siapa yang bertanggungjawab supaya dia sedar perbuatannya itu salah," katanya.

Wong yang membangkitkan isu berkenaan juga bangun dan bertegas mahu usul itu dibahaskan kerana jumlah enam kertas yang bocor dianggap tahap parah.

Perbalahan itu kemudian dileraikan apabila Pandikar Amin berkata walaupun beliau menolak usul itu, tidak bermakna ia tidak mustahak, dan meminta kerajaan mengambil perhatian serius.

"Ahli Yang Berhormat harus sedar, bila saya buat keputusan, ia muktamad mengikut Peraturan Mesyuarat, bila saya benarkan usul itu dibaca dalam majlis, lepas itu saya tolak, itu bermakna kerajaan harus ambil pengajaran dan beri perhatian serius," katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa maklumat yang diperoleh daripada pihak berwajib mendapati hanya dua laporan rasmi yang dibuat berhubung kebocoran kertas soalan, iatu Matematik dan Matematik Tambahan, bukannya enam seperti yang didakwa. - BERNAMA

Artikel Lain