suria

PM Saran GLIC Dan GLC Sedia Untuk Peralihan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) supaya bersedia untuk peralihan atau "selesai" daripada Program Transformasi GLC 10 tahun dengan mengukuhkan inisiatif untuk menyokong pertumbuhan mampan negara secara saksama.

Perdana Menteri berkata demikian pada mesyuarat ke-25 Jawatankuasa Putrajaya bagi Prestasi Tinggi GLC (PCG 25), Rabu.

Beliau berkata ini akan memastikan keterangkuman dan keadilan sosial dalam masyarakat, dengan program disokong oleh konsep yang mesra pasaran dan berasaskan merit.

Dalam ucapan perasmiannya, Perdana Menteri menyatakan sokongan penuh kepada program berkenaan dan mengulangi bahawa Agenda Bumiputera (BA) sebagai komponen teras Agenda Negara.

Dipetik dalam satu kenyataan oleh Sekretariat Jawatankuasa Putrajaya bagi Prestasi Tinggi GLC (PCG), Najib berkata BA selaras dengan prinsip-prinsip pendasar program bagi pertumbuhan dengan pengagihan yang melibatkan, antara lain, pembangunan komuniti Bumiputera yang akan membawa kepada keharmonian sosial di negara ini.

Program yang kini dalam tahun kesembilan daripada 10 tahun, terus mencatat kemajuan yang mantap dengan jumlah pulangan pemegang saham (TSR) G20 berkembang pada 13.6 peratus setahun dan permodalan pasaran G20 berkembang 2.9 kali kepada RM403 bilion sejak permulaan program ini dari 14 Mei 2004 sehingga 25 Oktober 2013.

"GLC terus berada pada kadar pertumbuhan yang mantap dengan ada di antaranya menembusi pasaran serantau yang mempunyai kesan strategik positif kepada ekonomi negara dengan menyokong Model Baru Ekonomi (MEB) dan meningkatkan keseluruhan kecekapan.

"Kejayaan program ini setakat ini, juga memberi kesan positif semua peringkat pihak berkepentingan dengan pelanggan, pekerja, pembekal dan yang paling penting - rakyat," kata PCG.

Dengan kejayaan yang berterusan dari program ini, GLC juga meningkatkan aktiviti Tanggungjawab Sosial korporat mereka dengan ketara dan menyentuh lebih banyak kehidupan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain