suria

Taufan Haiyan: Malaysia Salur Bantuan Bernilai AS$1 Juta Kepada Filipina

Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat pemeriksaan terakhir ke atas bekalan bantuan yang telah dimasukan ke dalam pesawat C-130 Hercules sebelum berlepas ke Tacloban bagi meneruskan misi bantuan mangsa Taufan Haiyan di Lapangan Terbang TUDM Subang pada Rabu. -Foto BERNAMA
Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat pemeriksaan terakhir ke atas bekalan bantuan yang telah dimasukan ke dalam pesawat C-130 Hercules sebelum berlepas ke Tacloban bagi meneruskan misi bantuan mangsa Taufan Haiyan di Lapangan Terbang TUDM Subang pada Rabu. -Foto BERNAMA
Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat pemeriksaan terakhir ke atas bekalan bantuan yang telah dimasukan ke dalam pesawat C-130 Hercules sebelum berlepas ke Tacloban bagi meneruskan misi bantuan mangsa Taufan Haiyan di Lapangan Terbang TUDM Subang pada Rabu. -Foto BERNAMA

SUBANG: Kerajaan Malaysia akan menyalurkan bantuan berbentuk wang tunai US$1 juta kepada kerajaan Filipina dalam masa terdekat bagi membantu mangsa taufan Haiyan di negara itu.

Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainudin berkata bantuan itu diberikan selepas mendapat kelulusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada mesyuarat bersama Kementerian Luar dan semua agensi terlibat termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ia akan disalur melalui kementerian dan akan diserahkan secepat mungkin. "Dengan bantuan itu, bermakna Malaysia menyumbangkan bantuan melebihi US$1 juta termasuk bantuan berbentuk barangan keperluan seperti makanan, perubatan yang bernilai kira-kira RM1 juta," katanya pada sidang akhbar semasa pelepasan pasukan Misi Bantuan Kemanusiaan taufan Haiyan di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, Rabu.

Beliau berkata dalam mengenal pasti bentuk bantuan lanjut yang diperlukan mangsa taufan Haiyan, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart)dianggotai 20 orang akan ke 'ground zero' untuk membuat kajian mendalam mengenainya. Mengulas mengenai kelewatan Malaysia menghantar bantuan itu, beliau berkata ia kerana Malaysia belum mendapat kebenaran mendarat berikutan keadaan semasa yang tidak mengizinkan.

"Dan bantuan ini hanya dapat disalurkan selepas mendapat kebenaran daripada kerajaan Filipina," katanya.

Mengenai bantuan kemanusiaan yang disalurkan Malaysia melalui Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Hamzah berkata bantuan yang dibawa hari ini bernilai RM500,000 dan bantuan dengan nilai yang sama dijangka diterbangkan esok.

Sementara itu, Presiden KP1M Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pasukannya dianggotai 38 orang termasuk sukarelawan, medik dan media.

Bantuan yang dibawa hari ini dianggarkan mampu untuk disalur kepada kira-kira 7,000 keluarga bagi bekalan selama sebulan,

"Kami juga akan memasang khemah perubatan sementara di kawasan bencana yang dikenalpasti bagi memudahkan penyaluran bantuan perubatan. "Bantuan lain yang dijangka tiba esok akan dapat membantu kira-kira 10,000 keluarga dan saya mengharapkan kami dapat membantu kira-kira 20,000 hingga 25,000 keluarga yang terjejas sepanjang misi ini," katanya.

Pesawat Charlie C130 TUDM digunakan bagi membawa barangan Misi Bantuan Kemanusiaan taufan Haiyan berlepas dari pangkalan TUDM Subang pukul 8.36 pagi manakala pesawat jenis sama yang membawa pasukan misi itu berlepas kira-kira pukul 9 pagi.

Misi itu membawa bantuan makanan, ubat-ubatan, pakaian, khemah dan produk nutrisi bayi seberat 14 tan dan kedua-dua pesawat itu akan mendarat di Lapangan Terbang Tacloban.

Misi lima hari itu yang turut disertai 20 anggota Angkatan Tentera Malaysia dijangka turun ke kawasan terjejas teruk antaranya Tacloban dan Iloilo.

Ribuan orang dilaporkan terbunuh dan sejumlah besar cedera serta kehilangan tempat tinggal akibat taufan kencang yang melanda Filipina Ahad lepas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain