suria

Perbicaraan Kes 30 Pengganas Di Sabah Ditetapkan Mulai 6 Januari

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini, menetapkan antara 6 Januari hingga 14 Februari depan bagi perbicaraan kes 30 pengganas yang dikaitkan dengan pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna, awal tahun ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Stephen Chung menetapkan perbicaraan bermula 6 hingga 10 Januari sebelum disambung pada 15 hingga 17 Januari, diikuti 27 hingga 30 Januari dan 10 hingga 14 Februari.

Tarikh berkenaan ditetapkan pada sebutan semula kes di Ibu Pejabat Penjara Sabah, dekat Kepayan, di sini, yang dijadikan mahkamah sementara, pagi Jumaat.

Chung turut menetapkan 15 Disember depan sebagai tarikh untuk pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan fakta dan isu yang dipersetujui kedua-dua pihak bagi perbicaraan berkenaan.

Pada perbicaraan itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail akan mengetuai kumpulan pendakwaan dengan dibantu enam peguam, manakala Datuk N Sivananthan mengetuai pembelaan 27 tertuduh.

Tiga lagi tertuduh masing-masing diwakili peguam Kamaruddin Mohmad Chinki, Rowiena Rasid and Abdul Gani Zulika.

Ditemui selepas sebutan semula kes yang dijalankan secara tertutup itu, Abdul Ghani berkata, pihaknya belum menetapkan jumlah saksi yang akan dipanggil sepanjang perbicaraan berkenaan.

Artikel Lain