suria

Sabah Atau Sarawak Bakal Dapat Satu Kerusi Naib Presiden PKR

PETALING JAYA: Sabah dan Sarawak dilihat bakal mendapat lebih kuasa dan keistimewaan sekiranya cadangan pindaan Perlembagaan Parti diluluskan dalam Kongres Nasional Khas Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2013, November ini.

Ketua Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Parti, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew berkata antara cadangan pindaan Perlembagaan yang dirangka ialah memberi beberapa keistimewaan terutama dari segi jawatan dengan menetapkan satu kerusi naib presiden untuk calon dari salah sebuah negeri berkenaan.

"Kita memberikan status dan kedudukan lebih ketara kepada Sabah dan Sarawak...sebagai contoh daripada tiga orang naib presiden yang dilantik, seorang hendaklah dari Sabah atau Sarawak.

"Pengerusi majlis pimpinan negeri (MPN) bagi Sabah dan Sarawak adalah ahli Biro Politik secara automatik...ini merupakan satu kedudukan istimewa yang (bakal) diberikan kepada pengerusi majlis pimpinan di dua negeri itu, pengerusi di negeri lain tak ada status seperti ini," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, Selasa.

Pada masa sekarang, ketiga-tiga jawatan naib presiden dipegang oleh pemimpin dari semenanjung iaitu Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Padang Serai, N.Surendran.

Menurut Dr Tan, dua negeri itu turut diberi kuasa memutuskan calon-calon untuk jawatan politik, termasuklah barisan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), anggota Jawatakuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan sebagainya, kecuali keputusan ditolak Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Katanya, Perlembagaan sedia ada memperuntukkan semua pencalonan dan lantikan untuk jawatan tersebut dibuat MPP dengan rundingan bersama MPN.

"Tetapi sekarang (pindaan) mereka (MPN) yang buat keputusan, kecuali keputusan itu ditolak MPP.

"Ini satu cara untuk menurunkan kuasa kepada peringkat bawah," katanya.

Dr Tan yang merupakan Bendahari PKR Selangor berkata sedikit pindaan juga akan dilakukan terhadap jawatan presiden yang sebelum ini menetapkan jawatan itu tidak boleh dipegang selama lebih tiga penggal atau sembilan tahun berturut-turut (mana-mana terdahulu).

"Syarat sembilan tahun itu telah dikeluarkan supaya jawatan presiden tidak kosong di tengah-tengah satu penggal," katanya.

Selain itu, di semenanjung, beberapa pindaan yang sama turut dicadangkan dibuat di peringkat negeri dan cabang di mana MPN diberi kuasa memutuskan calon jawatan politik di peringkat negeri, begitu juga majlis pimpinan di peringkat cabang.

Bagi sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR, mereka akan diberi kuasa membuat peraturan-peraturan sendiri, tertakluk kepada kelulusan MPP.

"Dalam Perlembagaan asal, MPP yang membuat memutuskan calon dan membuat peraturan untuk AMK dan Wanita.

"Kita juga telah menambah bilangan perwakilan AMK dan Wanita dalam Kongres Nasional daripada 30 kepada 50 orang bagi membolehkan lebih ramai hadir dalam kongres yang merupakan satu badan tertinggi dalam struktur parti," katanya.

Cadangan pindaan lain termasuklah mewujudkan jawatan baharu, iaitu jawatan setiausaha pengelola di semua peringkat dan peruntukan baharu di seksyen Lembaga Disiplin.

Tambahnya, Lembaga Disiplin dan MPP masing-masing akan diberi kuasa melantik atau menubuhkan jawatankuasa untuk mempercepat dan membantu proses siasatan serta rayuan.

"Lembaga Disiplin diberi kuasa memulakan siasatan terhadap salah laku disiplin mana-mana anggota tanpa perlu aduan daripada mana-mana pihak.

"Dulu kalau tidak ada rujukan kes dan laporan mereka tidak boleh siasat, sekarang kita bagi mereka kuasa," katanya.

Artikel Lain