suria

Dua Peniaga Cuba Sorok Gula Ditahan - Hasan Malek

YAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menahan dua peniaga yang cuba menyorok gula di premis perniagaan mereka di Putrajaya malam Jumaat.

Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata, mereka ditahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Akta Peruncitan 2011 kerana menyorok gula dengan niat untuk menjual pada harga yang tinggi.

Mereka cuba mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan tinggi berikutan pengumuman pemansuhan subsidi gula oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2014 pada Jumaat, katanya kepada pemberita pada program "Jom Check Motor" di Taman Mahsuri, Sungai Limau Dalam dekat sini Sabtu.

Gula yang sebelum ini berharga RM2.50 sekilo naik sebanyak 34 sen berkuatkuasa pada Sabtu berikutan penarikan balik subsidi oleh kerajaan.

Hasan berkata, dengan penjimatan sebanyak RM64.02 juta tahun ini dan RM551.25 juta pada tahun depan berikutan penarikan subsidi gula itu, kerajaan dapat menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat, termasuk meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Ditanya mengenai kemungkinan kenaikan harga kuih dan produk berasaskan gula di pasaran, katanya pengusaha makanan perlu mengurangkan penggunaan gula dalam makanan, yang akan dapat membantu kerajaan merealisasikan hasrat mengurangkan kadar kematian disebabkan diabetes.

Katanya, peniaga makanan tidak boleh menaikkan harga sesuka hati. - BERNAMA

Artikel Lain