suria

Akta Perlindungan Data Peribadi Lindungi Maklumat Peribadi Orang Ramai

KUALA LUMPUR: Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) yang akan dikuatkuasakan tidak lama lagi mampu meyakinkan orang awam bahawa maklumat peribadi mereka dilindungi dengan baik.

Menurut Kementerian Kewangan dalam Laporan Ekonomi 2013/2014 yang dikeluarkan di sini hari ini, di bawah PDPA adalah menjadi satu kesalahan bagi pengguna data mendedahkan data peribadi kepada pihak ketiga tanpa persetujuan pemilik data.

"Penalti kerana melanggar PDPA adalah denda maksimum sehingga RM500,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali," jelas laporan itu.

Menurut laporan itu, satu daripada prinsip utama PDPA yang diluluskan Parlimen pada April 2010 dan diwartakan pada Jun 2010 ialah pengguna tidak dibenarkan memproses data peribadi individu tanpa kebenaran. "Pemilik data perlu diberitahu melalui notis bertulis sekiranya data peribadi mereka sedang diproses sama ada data itu diberikan secara wajib atau sukarela," menurut laporan itu. Menurut laporan itu, PDPA mengiktiraf privasi maklumat sebagai satu daripada hak asasi manusia dan melindungi data yang berharga dan berpotensi menjadi komoditi yang bernilai.

"Kesemua negara anggota Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan Kanada mempunyai PDPA. Sementara di Asia Pasifik, Jepun, Korea, New Zealand, Hong Kong, Macau, Australia, Malaysia, Taiwan, Thailand, Filipina dan Singapura mempunyai PDPA. Indonesia dan China pula di peringkat memuktamadkan akta," menurut laporan itu.

Laporan itu menyatakan dasar PDPA akan meningkatkan kerjasama serantau serta membina kepercayaan dan melindungi komunikasi dengan negara lain. "PDPA tidak terpakai bagi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk memberi hak dan fleksibiliti menggunakan data peribadi asas bagi tujuan pentadbiran undang-undang. "Akta ini juga tidak terpakai bagi sebarang data peribadi yang diproses di luar Malaysia melainkan jika data peribadi berkenaan diproses selanjutnya di Malaysia," tambah laporan itu.

Menurut laporan itu, antara cabaran PDPA ialah kurang kesedaran dan salah faham dalam kalangan orang awam tentang hak perlindungan data peribadi. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain