suria

Mahkamah Tolak Saman Pemilik Tanah Terhadap MB Selangor

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menolak saman yang difailkan dua pemilik tanah terhadap kerajaan negeri Selangor, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan lima lagi berhubung dakwaan pengambilalihan tanah di Ijok, Selangor.

Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop membuat keputusan itu di dalam kamar selepas membenarkan permohonan Abdul Khalid untuk membatalkan saman itu.

Beliau membuat keputusan itu dengan kehadiran peguam B. Thangaraj mewakili dua plaintif iaitu LBCN Development Sdn Bhd dan Mujur Zaman Sdn Bhd, serta Penasihat Undang-undang Negeri Ahmad Fuad Othman mewakili Abdul Khalid dan enam lagi defendan.

Thangaraj memberitahu pemberita mahkamah menolak saman itu atas alasan perkara itu seharuskan difailkan untuk semakan semula penghakiman, dan bukan menerusi saman sivil.

"Mahkamah turut memerintahkan dua pemilik tanah itu membayar kos berjumlah RM28,000 kepada defendan," katanya, dan menambah plaintif akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Dua pemilik tanah terbabit memfailkan saman itu pada 21 Februari tahun ini dengan menamakan menteri besar, kerajaan negeri Selangor, pengarah Tanah dan Galian negeri, pendaftar hak milik tanah negeri, pentadbir tanah Kuala Selangor dan Perbadanan Menteri Besar sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, antara lain defendan sedar bahawa hartanah terbabit telah diberi hak milik kepada mereka bagi melaksanakan projek bersepadu Revolusi Hijau Bukit Cerakah dan projek pembangunan perniagaan lain.

Mereka memohon, antara lain, perisytirahan bahawa keputusan defendan untuk menuntut tanah itu pada 2011 dan 2012 adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak mempunyai kesan perundangan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain