suria

9,777 Kes Keracunan Makanan Dilaporkan Januari-September: Dr Hilmi

Dr Hilmi Yahya
Dr Hilmi Yahya
Dr Hilmi Yahya

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat pada Isnin diberitahu sebanyak 9,777 kes keracunan dilapor di seluruh negara dari tempoh Januari hingga September lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata daripada jumlah itu, sebanyak 6,795 kes membabitkan sekolah dan institusi Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertahanan, Majlis Amanah Rakyat, swasta dan kerajaan negeri.

"Daripada 6,795 kes itu pula, sebanyak 5,185 kes keracunan makanan melibatkan sekolah-sekolah bawah Kementerian Pendidikan," katanya menjawab soalan Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) yang bertanya jumlah kes keracunan makanan di seluruh negara khususnya di sekolah, sejak Januari lepas.

Dr Hilmi berkata kementerian sentiasa memantau dan melaksana pemeriksaan rutin di setiap sekolah dan kantin untuk memeriksa tahap kebersihan di tempat berkenaan.

Selain itu katanya kementerian turut mengadakan kursus pengendalian makanan bagi pengendali makanan dan suntikan pelalian antitifoid setiap tiga tahun yang boleh diambil di klinik kerajaan atau swasta.

"Pengendali makanan boleh mendapatkan latihan di 156 sekolah yang telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan dengan bayaran RM50 bagi kursus selama tiga jam dan mereka akan diberi sijil.

"Ini perlu untuk mengendalikan makanan," katanya.

Selain itu, program pemeriksaan sendiri atau kendiri di kantin dilaksanakan bagi melatih pengendali kantin dan mereka juga perlu membuat laporan berkala yang dilaksana di bawah pusat kesihatan daerah, katanya.

Kementerian juga akan melaksanakan program kesedaran dalam kalangan penduduk luar bandar mengenai kepentingan menyediakan makanan dengan lebih bersih, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain