suria

Pendekatan Holistik, Bersepadu Perlu Untuk Jayakan Usaha Perangi Rasuah

KUALA LUMPUR: Satu pendekatan holistik dan bersepadu dalam strategi termasuk memupuk tadbir urus yang baik diperlukan bagi membanteras rasuah secara berkesan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan.

Beliau berkata pendekatan secara kolektif ini memerlukan pihak berkepentingan untuk berurusan dengan institusi penguatkuasaan terutama badan kehakiman dan agensi penguatkuasaan undang-undang bagi membanteras rasuah.

Low menarik perhatian bahawa tadbir urus institusi penguatkuasaan perlu diperkukuh dan keberkesanannya bergantung kepada kebebasan mereka daripada cabang eksekutif kerajaan.

"Memerangi rasuah merupakan isu kompleks, dan sebarang usaha serius untuk membasminya secara signifikan memerlukan ahli strategi mempertimbang faktor-faktor berhubung kemampanan dan proses transformasi yang diperlukan," katanya dalam ucapan perasmiannya di Mesyuarat Serantau Asia mengenai Strategi Pencegahan Rasuah di sini, Isnin.

Mesyuarat itu dianjurkan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu terhadap jenayah terancang merentas negara.

Low berkata iltizam politik yang kuat, melindungi institusi penguatkuasaan daripada campur tangan politik, konsisten dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan komitmen untuk tindakan bersepadu adalah antara lain yang diperlukan untuk memerangi rasuah.

"Secara peribadi, saya percaya bahawa iltizam politik adalah semata-mata keazaman pemimpin atau mana-mana orang yang berkuasa, untuk membuat keputusan dan menjadi peneraju bagi mencapai yang dihasratkan tanpa mengira wujudnya keupayaan untuk mencapai apa yang dihasratkan," kata beliau.

Oleh yang demikian, beliau mengesyorkan supaya usaha memerangi rasuah perlu bermula dengan memiliki sikap " dimana ada kemahuan di situ ada jalan".

"Penyelesaiannya mungkin mustahil hari ini untuk apa jua sebab tetapi ia mungkin boleh dicapai pada masa depan.

Pemikiran seperti ini perlu ada bagi semua pejuang antirasuah dalam usaha memastikan harapan dan jangkaan kita sentiasa dalam perhatian supaya semangat dan minat kita tidak akan luntur," katanya.

Low juga menggesa pembabitan menyeluruh semua pihak berkepentingan dengan membawa bersama sektor awam dan swasta bagi memerangi rasuah.

Katanya pembabitan mereka boleh dibantu melalui pembentukan gabungan sektor antirasuah bagi menempa tindakan secara kolektif dan menyalurkan idea untuk perubahan. - BERNAMA

Artikel Lain