suria

Sembilan Penyandang Ketua Bahagian Kekal di Johor

JOHOR BAHARU: Sembilan penyandang jawatan ketua bahagian daripada 26 bahagian di Johor mengekalkan jawatan masing-masing, manakala tiga lagi penyandang ditewaskan muka baharu dalam pemilihan parti yang diadakan pada Sabtu.

Antara pemimpin yang terus diberi kepercayaan termasuk Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang kekal menerajui Umno Johor Baharu setelah menewaskan dua pencabarnya iaitu Ketua Umno Cawangan Taman Suria, Datuk Ahmad Kemin dan Ketua UMNO Cawangan Jalan Utama, Kampung Melayu, Zulkifli Ismail.

Turut tidak menghadapi masalah untuk mempertahan jawatan Ketua Umno Bahagian Pengerang ialah Anggota Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman yang sebelum ini menghadapi tentangan daripada timbalannya, Datuk Harun Abdullah; bendahari, Mohamed Long dan Anggota Jawatankuasa (AJK) bahagian Abd Jalil Abd Kahar.

Tuah pemilihan kali ini juga menyebelahi bekas Anggota Parlimen Batu Pahat Dr Mohd Puad Zarkashi yang mempertahankan jawatan ketua Umno bahagian Batu Pahat ditentang sengit timbalannya Datuk Ayub Jamil yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Senggarang.

Tidak ketinggalan mempertahankan jawatan ialah Datuk Baharom Mohamed (Sekijang); Adun Bukit Naning yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) Datuk Saipolbahri Suib; dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Penerangan negeri, Md Jais Sarday (Kluang).

Tiga lagi pemimpin yang turut kekal sebagai ketua bahagian ialah anggota Parlimen Mersing Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (Mersing); Datuk Abd Hamid Abd Rahman (Simpang Renggam); dan Datuk Md Othman Yusof ( Tanjung Piai).

Tiga penyandang yang tewas ialah Datuk Othman Jais (Segamat); Datuk Rosdin Mahmud (Labis) dan Datuk Aziz Sapian (Gelang Patah) yang tewas kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Johor, Mohammad Khairi A Malik.

Sementara itu tiga lagi bahagian menyaksikan kemenangan muka baharu apabila penyandang masing-masing mengundur diri bagi memberi laluan pertandingan antara pemimpin muda selaras dengan matlamat pucuk pimpinan yang ingin meremajakan parti.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Anggota Parlimen Muar Datuk Razali Ibrahim (Muar) antara muka baharu yang berjaya menyandang jawatan sebagai ketua bahagian setelah menewaskan pencabarnya Ketua Umno Cawangan Parit Tunggal Datuk Jalaludin Kassim.

Turut menang bekas Ketua Pemuda Umno Johor Datuk Zulkarnain Kamisan (Parit Sulong); dan Adun Pasir Raja Datuk Adham Baba (Tengggara).

Sementara itu sehingga pukul 12.20 tengah malam, keputusan pemilihan bagi bahagian Pulai masih belum diperoleh.

Sebelum ini, 10 Ketua Umno Bahagian telah menang tanpa bertanding termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh); Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Sembrong); Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Pasir Gudang) dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri (Ledang).

Enam lagi ketua bahagian yang menang tanpa bertanding ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab. Aziz Kaprawi (Sri Gading); Datuk Samsolbari Jamali (Ayer Hitam), Datuk Daing A. Malek A. Rahman (Kota Tinggi), Datuk Nur Jazlan Mohamed (Pulai), Datuk Ir. Hasni Mohammad (Pontian) dan Datuk Maulizan Bujang (Tebrau). -BERNAMA

Artikel Lain