suria

14 AJK Wanita Kalabakan Letak Jawatan Bukan Sebab Kekalahan Hamisa - Suriani

TAWAU: Empat belas anggota jawatankuasa (AJK) Wanita Umno Bahagian Kalabakan yang meletak jawatan selepas menang pada pemilihan 12 Oktober lalu menyangkal dakwaan yang mengaitkan isu itu dengan kekalahan Ketua Wanita Bahagian Datuk Hamisa Samat dalam pemilihan tersebut.

Menurut jurucakap AJK berkenaan Suriani Lamai, mereka meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan proses pemilihan kepimpinan Wanita bahagian itu yang didakwa mereka ada campur tangan 'pihak luar'.

Dalam kenyataan di sini pada Jumaat, Suriani berkata kesemua 14 AJK berkenaan sependapat dan bersetuju bahawa kalah dan menang dalam pemilihan Umno adalah perkara biasa, namun mahu semua pihak menghormati tataetika yang telah digariskan Jawatankuasa Pemilihan Umno (JKPU).

Mengulas mengenai pemilihan semula kepimpinan wanita Umno Kalabakan seperti termaktub dalam Fasal 15.8 dan 12.11 Perlembagaan Umno, Suriani berkata perkara itu harus diputuskan oleh Umno Pusat.

Mengenai kenyataan Ketua Umno Bahagian Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh semalam berhubung pemilihan semula jawatankuasa Wanita yang baharu bagi menggantikan 14 AJK terbabit, Suriani berkata pemilihan sepatutnya melibatkan semua jawatan termasuk ketua dan naibnya.

Dalam pemilihan 12 Oktober lalu, penyandang ketua Wanita Umno Kalabakan, Hamisa tewas kepada pencabarnya Cahaya Sulaiman dengan majoriti 33 undi. Tiga hari kemudian 14 AJK Wanita yang menang dalam pemilihan itu meletak jawatan kerana mendakwa proses pemilihan tidak telus. -BERNAMA

Artikel Berikut

13 Wanita Ditahan Kerana Berjudi

Artikel Lain