suria

Robert Kuok Sumbang RM100 Juta Bina Perpustakaan Universiti Xiamen Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Universiti Xiamen kampus Malaysia - universiti pertama China yang akan ditubuhkan di luar negara, bertuah apabila menerima sumbangan RM100 juta daripada Tan Sri Robert Kuok untuk pembinaannya.

Kuok, seorang hartawan Malaysia yang berpangkalan di Hong Kong menderma sejumlah wang bagi pembinaan perpustakaan universiti itu yang merupakan sebahagian daripada bangunan utama.

Ini telah diumumkan oleh Tan Sri Ong Ka Ting, yang merupakan wakil khas perdana menteri semasa majlis makan tengah hari yang dihadiri oleh Presiden China Xi Jinping, Kuok, ahli perniagaan dan wakil-wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan.

Kampus berkenaan adalah sebuah kampus cawangan Universiti Xiamen di China dan akan dibina di Salak Tinggi, dekat Sepang.

Ia dijangka mula beroperasi pada September 2015.

Semasa makan tengah hari itu, Ong berkata beliau bangga masyarakat Cina di Malaysia boleh bertutur dalam banyak bahasa kerana mereka hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum.

"Walaupun pendidikan masyarakat Cina dilindungi dengan baik di Malaysia, masyarakat Cina di sini bergaul dengan kaum-kaum lain dan hidup dalam harmoni," katanya.

Xi, dalam ucapannya berkata diaspora orang Cina di kebanyakan negara biasanya berjaya.

Beliau juga bergurau apabila beberapa rakyat China menyangka penyanyi dari Malaysia, Fish Leong adalah dari China.

"Kami sudah 40 tahun menjalinkan hubungan diplomatik yang kuat dengan Malaysia dan saya berharap ini akan terus kekal," katanya.

Bercakap kepada pemberita, Ong berkata Xi memberitahu bahawa beliau dan isterinya Peng Liyuan telah mencuba makan durian pada malam Khamis dan mereka menyukainya.

"Malah Xi tahu tentang 'Durian Musang King' yang popular di kalangan pencinta durian Malaysia," kata Ong ketawa.

Beliau berkata ini adalah lawatan kedua Xi ke Malaysia di mana lawatan pertama beliau adalah 20 tahun yang lalu di Sibu, Sarawak.

"Xi berkata Malaysia telah banyak berubah manakala Peng memuji keindahan negara dan rakyat yang mesra," kata Ong.

Artikel Lain