suria

Bekalan Elektrik Di Sabah Terjejas Akibat Kebakaran Di Stesen Janakuasa

KOTA KINABALU: Bekalan elektrik di seluruh Sabah termasuk Labuan akan terjejas ekoran insiden kebakaran dan letupan kecil yang berlaku di tiga Stesen Janakuasa Penjana Kuasa Bebas (IPP) di Sepanggar dekat sini Rabu.

Pengarah Urusan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Abdul Razak Sallim berkata insiden tersebut telah menyebabkan penjanaan kuasa elektrik berkurangan sebanyak 200 MegaWatt (MW).

"Kebakaran di IPP Melawa berlaku kira-kira jam 12.38 tengah hari selepas berlaku letupan kecil di IPP Teluk Salut dan IPP Rugading lebih kurang jam 8 pagi," katanya dalam sidang akhbar di sini.

Katanya insiden di ketiga-tiga IPP di Sepanggar merupakan antara IPP terbesar di negeri ini telah memaksa SESB menjalankan catuan secara bergilir bagi tempoh satu bulan.

"Catuan hanya berlaku sehingga tiga jam pada hari bekerja antara jam 8.30 pagi hingga 9 malam," katanya.

Menurut beliau catuan tidak akan dilakukan pada hari Ahad berikutan penggunaan tenaga elektrik dalam tempoh tersebut adalah kurang berbanding hari bekerja.

Katanya IPP Teluk Salut dan IPP Rugading yang dimiliki Ranhill Power Sdn Bhd akan dapat dipulihkan dalam tempoh 24 hingga 26 jam dari tempoh insiden berlaku.

"IPP ARL Melawa yang dimiliki ARL Power Sdn Bhd terpaksa mengambil tempoh yang lama iaitu sehingga sebulan untuk pulih," katanya.

Katanya keadaan itu menyebabkan SESB terpaksa membatalkan kebenaran untuk salah satu IPP menjalankan operasi penyelenggaraannya bagi mengelakkan gangguan elektrik lebih buruk.

Beliau berkata SESB bertanggungjawab membeli tenaga elektrik yang dibekalkan oleh IPP bagi memastikan kira-kira 500,000 pengguna di seluruh negeri menerima bekalan secukupnya.

Katanya, punca kejadian sedang disiasat syarikat pemilik IPP tersebut.

Dalam pada itu, Abdul Razak meminta pengguna yang mengalami gangguan bekalan melebihi tiga jam untuk menghubungi talian hotline SESB, 15454 atau 088-515000. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain