suria

124 Penjenayah Ditembak Mati Sejak 2009

KUALA LUMPUR: Seramai 124 orang penjenayah telah ditembak mati untuk tempoh 2009 hingga Ogos 2013.

Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah itu bangsa Melayu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 56 orang diikuti oleh bangsa India seramai 41 orang, Cina seramai 23 orang dan Bumiputera empat orang.

Menurutnya, daripada jumlah itu melibatkan 114 kes yang direkodkan.

"Sementara jumlah senjata api yang dirampas mengikut tahun sejak 2009 hingga Ogos 2013 ialah sebanyak 898 buah.

"Pecahan jenis rampasan senjata api menunjukkan jenis semi auto (319) mencatatkan rampasan tertinggi, di ikuti senjata buatan sendiri (193), revolver (120), air gun (105), senapang patah (84), bom tangan (31), rifle (22), pum gun (20), dan SMG (4)," katanya menerusi jawapan bertulis bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut).

Selain itu, Lip Eng turut meminta penjelasan KDN jumlah pendatang asing tanpa izin (Pati) yang telah ditahan dan berapa ramai yang telah dihantar balik ke negara menerusi Operasi 6P Bersepadu.

Menurut Ahmad Zahid, bermula 1 September hingga 16 September 2013, seramai 4,356 orang Pati telah ditangkap di bawah Ops 6P Bersepadu.

"Warganegara Indonesia mencatatkan bilangan tangkapan yang tertinggi iaitu seramai 1,355 orang, diikuti dengan warganegara Myanmar seramai 941 orang, Bangladesh 597 orang, Nepal 322 orang dan lain-lain 340 orang.

"Proses penghantaran Pati ke negara asal akan dilaksanakan dari masa ke semasa," katanya.

Artikel Lain