suria

Ali Rustam Orang Akhir Serah Borang Tanding Naib Presiden

Ali Rustam hadir menyerahkan sendiri borang pencalonan bagi jawatan Naib Presiden Umno pada hari penyerahan borang pencalonan Umno 2013 di PWTC, Kuala Lumpur pada Sabtu. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam akhirnya menamatkan spekulasi berhubung kononnya beliau akan menarik diri daripada saingan jawatan Naib Presiden Umno.

Mohd Ali yang hadir sebagai bakal calon keenam menyerahkan borang pencalonannya kira-kira pukul 4 petang iaitu sejam sebelum masa penyerahan tamat.

Sebelum ini timbul desas-desus yang mengatakan Mohd Ali akan membatalkan hasratnya bertanding jawatan itu apabila kelibatnya tidak kelihatan di pusat penyerahan borang pencalonan yang dibuka seawal pukul 8 pagi Sabtu.

Mengulas mengenai spekulasi tersebut, Mohd Ali yang hadir memakai baju batik biru menjelaskan beliau menghadapi masalah teknikal berhubung nama wakil calon pada borang pencalonannya.

"Saya terlewat sebab borang saya ada masalah...wakil calon saya tidak boleh seseorang yang mempunyai jawatan, hanya ahli biasa.

"Jadi saya perlu betulkan kesilapan tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, Sabtu.

Ditanya sama ada kemungkinan beliau akan menarik diri dalam tempoh 72 jam sebelum nama calon disahkan bertanding pada pemilihan Umno bulan depan, Mohd Ali bagaimanapun berkata perkara itu bergantung kepada keadaan dan perkembangan semasa.

"Memang kita ada masa 72 jam untuk tarik diri, dalam tempoh itu macam-macam boleh berlaku...tunggulah nanti," katanya.

Penyertaan Mohd Ali menyaksikan jumlah pencalonan bagi jawatan Naib Presiden kekal bakal ditandingi enam tokoh.

Selain Mohd Ali, lima lagi pemimpin yang sedia berentap bagi jawatan itu termasuk penyandangnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Turut mencuba nasib ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain