suria

4,969 Pusat Pemindahan Disediakan Hadapi Banjir

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan sejumlah 4,969 pusat pemindahan yang boleh menempatkan 1.3 juta mangsa banjir di seluruh negara bagi menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bermula November depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah pun melaksanakan pemeriksaan terhadap pusat-pusat pemindahan yang telah disenaraikan supaya ia dilengkapi dengan kemudahan yang mencukupi bagi menampung keperluan mangsa- mangsa banjir.

Pada masa yang sama Shahidan berkata Jabatan Meteorlogi Malaysia (Met Malaysia) telah menyediakan peta 31 kawasan banjir di seluruh negara bagi membolehkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi tumpuan awal kepada kawasan berkenaan.

"Peta 31 kawasan tumpuan banjir ini akan dikeluarkan oleh JMM. Ini bagi memberi tumpuan awal kepada kawasan yang mudah dilanda banjir.

"Semua pihak termasuk polis, tentera, Rela, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan mengawal keselamatan di kawasan yang dilanda banjir," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Awam Pusat di Bangunan Parlimen pada Selasa.

Turut hadir Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.

Mengulas lanjut, Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau berkata orang awam terutama pengguna jalan raya boleh mendapatkan maklumat terkini berkaitan jalan raya yang ditutup serta jalan alternatif dengan menghubungi bilik gerakan banjir negeri.

"Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menempatkan pegawai- pegawai di setiap bilik gerakan banjir negeri bagi memantau jalan-jalan yang terpaksa ditutup akibat banjir dan jalan alternatif yang boleh dilalui.

"Adalah diingatkan bahawa sebarang bentuk bantuan tenaga kerja, makanan dan pakaian perlulah melalui bilik gerakan bencana negeri/ daerah atau JKM Negeri/Daerah agar bantuan dapat diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir yang memerlukan dan tidak berlakunya pembaziran sumber," katanya.

Bagi bantuan wang tunai pula, beliau berkata kerajaan mengalu-alukan sumbangan daripada orang awam dan sektor korporat ke tabung bantuan bencana yang diselaraskan oleh MKN, Jabatan Perdana Menyeri dikenali Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN).

"Sumbangan yang disalurkan akan digunakam bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh mangsa seperti membaiki rumah mangsa banjir yang rosak dan bantuan-bantuan lain yang difikirkan perlu," katanya.

Selain itu, Shahidan berkata, mesyuarat juga dimaklumkan insiatif Kememterian Pendidikan Malaysia dalam merangka Pendidikan Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana di peringkat sekolah.

"Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran murid- murid sekolah terhadap risiko bemcaan apabila ia berlaku.

"Selain itu, murid-murid sekolah juga menjadi agen dalam masyarakat setempat mengenai kesedaran bencana," katanya.

Menurutnya, Met Malaysia telah meramalkan musim monsun akan bermula pada bulan November, dan berakhir pada bulan Januari 2014.

"Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangkakan menerima hujan melebihi 500 mm pada bulan November dan Disember.

"Manakala Sabah dan Sarawak pula dijangka menerima 500 mm pada Disember 2013 hingga Januari 2014. Berdasarkan ramalan ini, sekiranya intensiti hujan yang tinggi turun dalam masa singkat serta ditambah pula dengan situasi air pasang memungkinkan situasi banjir berlaku," katanya.

Namun demikian, Shahidan berkata Met Malaysia memaklumkan bahawa fenomena El Nino dan La Nina tidak membawa kesan yang ketara terhadap Malaysia.

"Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Jabatan Penyiarasan diminta menyediakam slot kepada Met Malaysia dan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) untuk menyampaikan maklumat ramalan cuaca serta amalan awal dari semasa ke semasa kepada rakyat melalui media elektronik termasuk kapsul kesedaran masyarakat mengenai langkah menghadapi situasi banjir.

"Semua agensi telah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia dari kekuatan anggota serta persediaan aset darat, air dan udara. Aset-aset seperti bot penyelamat, trak, kenderaan pacuan empat roda, helikopter telah diselenggara dan diletakkan di tempat- tempat strategik supaya mudah bagi tujuan menguruskan situasi banjir termasuk memindahkan mangsa banjir," katanya.

Artikel Lain