suria

Kedai Pengurup Wang Dirompak, RM75,000 Lesap

IPOH: Tiga lelaki Vietnam ditahan kurang 24 jam selepas mereka memecah masuk kedai Pengurup Wang di Ayer Tawar dekat Sitiawan dan melarikan Ringgit Malaysia serta pelbagai mata wang asing berjumlah RM75,000, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 20-an dan bekerja sebagai pembantu kedai makan itu ditahan di sebuah hotel di bandar raya Ipoh pada pukul 9.45 malam.

Polis merampas pelbagai barangan termasuk peralatan untuk memecah peti besi antaranya pemutar skru, grinder, empat keping mata grinder, lima set sarung tangan selain wang tunai kira-kira RM3,000 dan duit syiling berjumlah RM40.

Siasatan awal mendapati kumpulan itu terlibat dalam lapan kes pecah peti besi di sekitar Ipoh dan Kuala Lumpur.

"Mereka yang datang dari Kuala Lumpur terlibat dalam kegiatan itu sejak awal tahun ini. Polis tidak menolak kemungkinan anggota kumpulan ini lebih daripada empat orang," katanya.

Sum berkata, kejadian samun oleh empat lelaki itu disedari pemilik kedai pengurup wang berkenaan pada pukul 10 pagi apabila melihat kesan pecah masuk di premis itu.

"Mangsa lihat peti besi simpanan telah ditebuk dan beberapa utas barang kemas hilang," katanya.

Dalam kejadian berasingan pada 11.55 malam Khamis, Sum berkata, sebuah kedai Pengurup Wang Berlesen di Jalan Sultan Idris Shah di sini, dipecah masuk namun suspek melarikan diri setelah menyedari kehadiran polis.

Polis percaya suspek merupakan anggota kumpulan sama yang terlibat dalam kejadian pecah masuk kedai Pengurup Wang di Ayer Tawar dekat Setiawan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain