suria

Pembedahan Kosmetik Perlu Dikawal - CAP

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mahu Kementerian Kesihatan mengawal industri pembedahan kosmetik kerana belum wujud undang-undang khusus yang menghalang pihak yang tidak bertauliah daripada melakukan pembedahan berkenaan.

Presiden CAP S.M Mohamed Idris berkata setakat ini kementerian tersebut hanya mempunyai kuasa untuk bertindak menurut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (PHFSA) 1998 dan Akta Perubatan 1971.

"Akta itu hanya boleh diambil terhadap doktor yang tidak terlatih yang melakukan pembedahan komestik dan setakat ini undang-undang itu belum mencukupi untuk melindungi pengguna daripada terpedaya dengan 'pakar bedah komestik' yang tidak berkelayakan. "Jadi CAP mahu kerajaan mengambil tindakan segera dengan mengubal undang-undang khas supaya dapat menghalang mereka yang tidak bertauliah daripada melakukan pembedahan komestik," katanya dalam sidang akhbar di sini, Rabu. Beliau berkata sikap masyarakat yang terlalu obses untuk kelihatan cantik menyebabkan ramai yang sanggup menghabiskan wang untuk menjalani pembedahan komestik sehingga menjadi mangsa pusat kecantikan yang mengambil kesempatan.

Mohamed Idris berkata berikutan keuntungan besar yang diperoleh telah mendorong kemunculan pengamal perubatan 'lorong belakang' yang kurang berpengalaman atau terlatih serta kurang peralatan untuk membuat pembedahan sedemikian.

"Ini bukan sahaja menarik minat 'doktor yang menyamar' malah doktor biasa yang tidak terlatih dalam bidang itu juga berminat untuk mengaut keuntungan.

"Saya difahamkan industri ini bernilai berbilion dolar dan berkembang pada kadar 15 peratus setahun," katanya. Beliau berkata CAP menerima banyak aduan berhubung pembedahan kosmetik sejak 1980-an. "Kita minta Kementerian Kesihatan mengambil tindakan tegas terhadap doktor yang tidak menerima latihan dalam bidang pembedahan kosmetik tetapi menjalankannya, serta memasukkan garis panduan mengenai perubatan estetik di dalam undang-undang agar ia boleh dikuatkuasakan dengan tegas," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain