2014 Tahun 'Perangi' Orang Tengah - Ismail Sabri - Semasa | mStar

2014 Tahun 'Perangi' Orang Tengah - Ismail Sabri

JOHOR BARU: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan 2014 sebagai tahun 'perang jihad' terhadap penguasaan orang tengah yang selama ini mengaut keuntungan daripada hasil titik peluh nelayan.

Beliau berkata langkah itu untuk mengelakkan lebih 60,000 nelayan di negara ini terus tertindas dan ia akan dilaksanakan menerusi strategi penguasaan rantaian nilai oleh persatuan nelayan sendiri.

"Ini perang jihad, bermakna ia satu perkara serius. Jika masalah ini tidak diselesaikan, selagi itulah nelayan akan terus dalam hidup dalam kemiskinan. Soal kemiskinan dan nelayan tidak pernah berubah daripada segi persepsi dan realitinya, dari zaman dulu sampai sekarang.

"Miskin, miskin, dan tertindas. Sedangkan orang tengah mereka tidak ke laut, tetapi kaut untung. Produk milik kita (nelayan) tetapi mereka pula tentukan harga. Jadi ini perlu berubah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) kali ke-28 di sini malam tadi yang turut dihadiri timbalannya Datuk Tajuddin Abdul Rahman. Turut hadir Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Irmohizam Ibrahim dan Pengerusi Nekmat Mohamad Dolmat.

Beliau menjelaskan, menerusi penguasaan rantaian nilai itu, persatuan nelayan kawasan, negeri dan Nekmat akan memain peranan bermula daripada penyediaan air batu, kedai runcit, kerja membaiki bot sehinggalah pasaran ikan. "Cukuplah beli air batu daripada orang lain, kalau nak baiki bot kita wujudkan bengkel sendiri. Saya mahu LKIM latih anak-anak nelayan menjadi mekanik supaya bot-bot nelayan kita dibaiki oleh mereka bukan orang lain," katanya.

Selain itu, katanya kementerian juga akan mewujudkan tiga mekanisme pasaran ikan untuk memastikan nelayan dapat menjual terus ikan kepada kepada pembeli.

Ini termasuk membina 100 buah pasar nelayan di kawasan pendaratan ikan di seluruh negara dan mewujudkan pasar borong dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), katanya.

Beliau berkata Nekmat dan LKIM juga akan membeli tujuh jenis ikan rakyat antaranya selar, kembung, selayang dan pelaling secara terus daripada nelayan untuk disejuk beku sebelum dipasarkan ke pasaraya besar di negara ini.

"Semua ini akan dikuasai oleh persatuan nelayan dan jika ia dapat dijayakan, maka tiada lagi penguasaan orang tengah di negara ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Australia Bebas Tuduhan Mengedar Dadah

Artikel Berikut

478,848 Calon UPSR Duduki Peperiksaan Tahun Ini

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

CPA Australia platform berkualiti, pantas capai kelayakan perakaunan diiktiraf global

JIKA anda mempunyai kelayakan yang sewajarnya dalam industri perakaunan, perbankan dan kewangan, ia boleh memberikan prospek kerja dan kepelbagaian projek kepada anda.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

Artikel Lain