KELUARGA seorang anggota tentera berusia 20 tahun yang ditemukan tergantung meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kesimpulan awal berhubung kematiannya dan menggesa siasatan lanjut dijalankan.Prebet Thitikorn Pongwankham, atau dikenali sebagai Nam, berkhidmat dengan Batalion Perubatan ke-3 di Kem Surathampithak, Nakhon Ratchasima, Thailand. Sebelum kejadian, Thitikorn diberikan pelepasan cuti bermula 1 hingga 10 September untuk pulang ke rumah keluarganya di Ubon Ratchathani.Namun, sebelum kembali ke kem, Thitikorn memberitahu keluarga dia tidak mahu lagi meneruskan perkhidmatannya dalam bidang ketenteraan.Selepas cutinya berakhir, Thitikorn tidak kembali ke kem dan mayatnya ditemukan tergantung di sebatang pokok berhampiran Kem Surathampithak pada 12 September.Lelaki itu tidak pulang ke kem selepas berakhirnya cuti pada 10 September. -Foto MGR OnlineSiasatan awal pihak tentera mendapati tiada bukti berlaku konflik, keganasan atau serangan terhadap Thitikorn. Pemeriksaan forensik pula mendapati dia meninggal dunia akibat sesak nafas kerana tergantung dan tiada kecederaan luaran dikesan.Namun, ibu saudaranya mempersoalkan sama ada Thitikorn menghadapi masalah berkaitan tugas ketenteraan atau konflik percintaan memandangkan dia merupakan individu LGBTQIA+.Keluarga turut membuat spekulasi kemungkinan Thitikorn berdepan masalah hubungan percintaan. Bagaimanapun, tiada bukti yang mengesahkan kedua-dua kemungkinan itu dilaporkan.Pihak tentera memberikan bantuan kewangan sebanyak 30,000 baht (RM3,676) kepada keluarga dan berkata akan bekerjasama dengan polis sehingga siasatan selesai. -Agensi