suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Kenali Dive-LD, dron kapal selam canggih buat tentera AS ‘sesak dada’ apabila jatuh ke tangan Iran

Foto edaran media Iran memaparkan dron kapal selam Dive-LD yang dirampas pihak IRGC pada 8 September. -Agensi

DUNIA ketenteraan global gempar selepas sebuah dron kapal selam berteknologi tinggi milik Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) dilaporkan jatuh ke tangan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran di Selat Hormuz. 

Insiden pada awal pagi 8 September lalu itu mula tular selepas agensi berita Iran, Tasnim, menyiarkan foto kapal selam tanpa pemandu (UUV) jenis Anduril Dive-LD berkenaan.

Walaupun pihak tentera AS cuba bertindak tenang dan meremehkan insiden tersebut, penganalisis pertahanan menyifatkan rampasan itu sebagai satu tamparan hebat buat negara kuasa besar berkenaan.

Aset canggih Anduril Dive-LD

Dive-LD merupakan salah satu dron kapal selam dengan teknologi canggih dimiliki oleh tentera AS.

Aset bersaiz besar ini berukuran panjang kira-kira 5.8 meter, berdiameter 1.2 meter, serta mempunyai berat mencecah 3 tan.

Keupayaan operasinya juga bukan biasa-biasa kerana ia direka untuk menjalankan misi jangka panjang yang membolehkannya berada di dalam air selama 10 hari berturut-turut. 

Kapal selam tanpa pemandu ini turut mampu menyelam sehingga kedalaman ekstrem mencecah 6,000 meter.

Kelebihan utama dron ini terletak pada reka bentuk modularnya yang fleksibel dan penggunaan komponen cetakan 3D, sekali gus memudahkan pihak tentera memasang pelbagai sensor atau perkakasan misi dengan pantas.

Ia juga sangat praktikal kerana boleh dilancarkan terus dari jeti, ditunda, atau dilepaskan dari kapal induk.

Dive-LD mampu beroperasi di kedalaman ekstrem sedalam 6,000 meter. -Agensi

Apa kata Iran dan AS

Pihak IRGC menyifatkan rampasan itu sebagai satu kejayaan memandangkan kapal selam terbabit buatan Anduril Industries itu merupakan antara teknologi termoden dan pintar di dunia ketika ini.. 

Namun tentera AS melalui Jurucakap Komando Pusat AS (CENTCOM), Kapten Tim Hawkins, tampil menyatakan dron itu hanyalah sebuah model lama yang mengalami masalah teknikal dan rosak ketika melakukan tinjauan rutin.

Dia turut menegaskan dron berkenaan tidak membawa sebarang data sensitif mahupun peralatan radar atau sonar yang diklasifikasikan sebagai rahsia ketenteraan.

Risiko kebocoran maklumat rahsia

Meskipun dinafikan oleh AS, komuniti penganalisis ketenteraan seperti TWZ berpandangan kehilangan Dive-LD dalam keadaan masih utuh tetap membawa risiko keselamatan yang amat besar.

Ini kerana mereka melihat Iran kini mempunyai peluang keemasan membedah dron tersebut bagi mempelajari had keupayaan, fungsi sistem dalaman, dan mencari kelemahan teknologi milik musuh ketat mereka. 

Kebimbangan ini sememangnya berasas memandangkan Dive-LD jauh lebih sofistikated berbanding dron laut sedia ada di rantau Timur Tengah.

Iran juga pastinya berpotensi berkongsi rahsia kejuruteraan tersebut dengan sekutu kuat mereka seperti Rusia atau China. 

Dalam pada itu, seorang profesor kejuruteraan aeroangkasa dan lautan di AS, Craig Woolsey berkata, walaupun Iran akan mendapat maklumat baharu, kehilangan aset tanpa pemandu itu adalah satu risiko yang memang sudah dijangka oleh tentera AS.

"Saya pasti tentera Iran akan mempelajari perkara yang mereka tidak tahu tentang kenderaan ini dan maklumat itu mungkin akan mempengaruhi taktik mereka dan reka bentuk sistem yang serupa.

"IRGC akan mempelajari beberapa perkara, tetapi tujuan dan kewujudan sistem ini sudah diketahui umum. Saya agak skeptikal jika mereka akan menemui sebarang rahsia," kata Craig Woolsey. -Agensi

Artikel Lain