suria

Warga Australia Bebas Tuduhan Mengedar Dadah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu melepas dan membebaskan warga Australia Dominic Jude Bird selepas pihak pembelaan berjaya membangkitkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan atas tuduhan mengedar 167.8 gram methamphetamine tahun lepas.

Hakim Kamardin Hashim dalam penghakimannya berkata adalah tidak selamat untuk mensabitkan tertuduh selepas membuat penilaian maksimum keterangan lapan saksi pendakwaan dan lapan saksi pembelaan.

"Di akhir kes pembelaan, mahkamah mesti diyakinkan sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah dan manfaat keraguan munasabah mesti diberi kepada tertuduh.

"Selepas mengambil kira semua keterangan di hadapan mahkamah ini, saya berpuas hati bahawa keraguan munasabah telah berjaya dibuktikan oleh pihak pembelaan dan saya melepas dan membebaskan anda daripada pertuduhan ini," kata Kamardin dalam penghakimannya.

Bird, 34, dari Perth, yang gembira dengan keputusan itu terus memeluk dua kakitangan kedutaan Australia yang duduk di galeri awam, sebelum pasukan peguamnya diketuai Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah menyertainya.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Bird berkata sebelum penghakiman, dia resah dan sentiasa melihat jam dan berfikir hakim mungkin menangguhkan keputusan itu seminggu dua.

Berhubung layanan ketika ditahan lebih setahun di Penjara Sungai Buloh di pinggir ibu negara, beliau berkata dia dilayan dengan baik.

Bagaimanapun, Bird melalui detik cemas selepas diberitahu dia mungkin bermalam di Pejabat Imigresen sementara menunggu permohonan visanya, kerana ia telah tamat tempoh sewaktu dia direman.

Bird yang kelihatan terkejut dan keliru dengan perkembangan itu dipujuk oleh Shafee bahawa ia hanyalah formaliti bagi memastikan dia mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata beliau akan mendapatkan arahan lanjut daripada Pejabat Peguam Negara sama ada membuat rayuan berhubung keputusan itu.

Pada 25 Mac lepas, Bird diperintah membela diri terhadap tuduhan mengedar methamphetamine seberat 167.8 gram di outlet Old Town White Coffee di Jalan Yap Kwan Seng pukul 7.15 malam pada 1 Mac tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain