PENYANYI dan usahawan Mila Jirin menegaskan isu tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membabitkan kakitangan syarikatnya hampir selesai sepenuhnya. Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin, 39, berkata, selaku majikan dia sentiasa akur dengan peruntukan undang-undang dan akan memastikan perkara tersebut dapat diselesaikan dengan segera. "Benda ini berlarutan daripada isu Covid-19 dahulu. Alhamdulillah kita dapat selesaikan, tidaklah 100 peratus lagi tapi hampir selesai. Mila tidak ambil mudah isu mengenai pekerjanya. "Jangan bimbang kerana kita bekerjasama dengan KWSP sendiri untuk buat bayaran secara berperingkat dan semuanya berjalan lancar."Ada saya baca komen kononnya pihak berwajib tidak ambil tindakan. Tidak, kita bermesyuarat dengan mereka dengan sangat kerap. Sebagai majikan kita tertakluk kepada akta, jadi menjadi tanggungjawab dan amanah saya untuk menyelesaikannya," katanya kepada mStar. Ditanya mengenai jumlah tunggakan yang perlu ditanggung, Mila memilih untuk enggan mendedahkan angka tersebut atas faktor kerahsiaan syarikat.ARTIKEL BERKAITAN: Isu tunggakan caruman KWSP, Mila Jirin tak pernah halang bekas pekerja buat aduanARTIKEL BERKAITAN: Belum sempat promosi lagu sudah tular di Indonesia, Mila Jirin rancang jelajah seberang Oktober depan"Jumlah sebenar sangat peribadi. Tapi kalau saya boleh maklumkan, gaji pekerja saja mencecah RM700,000 sebulan. Saya rasa orang ramai boleh congak sendiri berapa kos caruman KWSP untuk jumlah itu," jelasnya.Dalam masa sama, Mila berkata dia tidak mengambil hati apabila terdapat individu yang mendedahkan isu tersebut di media sosial. "Saya tak ambil apa-apa perasaan yang tidak baik, pada saya itu adalah tugas untuk saya selesaikan. Mila mahu menjadi majikan yang bertanggungjawab. "Bila saya dah ambil keputusan untuk menjadi seorang usahawan, majikan, inilah dia punya natijahnya. Tambah pula dengan status selebriti itu. Tapi tidak mengapa, saya akan selesaikannya," ujarnya. Sebelum ini, tular dakwaan di media sosial mendakwa syarikat milik Mila gagal mencarum KWSP pekerjanya selama 10 bulan.Mila tampil menjelaskan perkara sebenar berpunca daripada impak teruk fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap industri acara.Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube