suria

Zahrain Mahu Pertingkat Hubungan Malaysia Dan Indonesia

KUALA LUMPUR: Duta Besar Malaysia yang baharu ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata antara usaha yang akan dilakukannya ialah mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Kuala Lumpur dan Jakarta serta merapatkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Beliau menyifatkan pelantikan itu sebagai satu tanggungjawab besar dan akan cuba menggalas cabaran itu dengan sebaik mungkin dengan bantuan para pegawai diplomatik di Wisma Putra mahupun di pejabat kedutaan di Jakarta.

"Ini adalah kali pertama sebagai seorang diplomat. Sebelum ini menjadi ahli perniagaan, pemimpin korporat dan ahli politik," katanya yang mengakui tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang diplomatik.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas kepercayaan terhadap kemampuan saya menjalankan tanggungjawab itu," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Katanya, beliau telah menerima surat pencalonan untuk jawatan tersebut daripada Kementerian Luar tiga minggu lepas, dan kini menunggu watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk memulakan tugas baharunya itu.

Selain merapatkan hubungan antara rakyat, Zahrain berkata beliau akan turut melibatkan media Indonesia untuk memperbetulkan persepsi mereka terhadap Malaysia.

Zahrain merupakan graduan dalam bidang matematik dari Leicester Polytechnic United Kingdom dan bekas pengerusi eksekutif Penang Port Sdn Bhd serta bekas pengerusi Persekutuan Syarikat Pengendali Pelabuhan Malaysia.

Zahrain, yang sebelum ini merupakan anggota Umno dan pernah menjawat jawatan Ketua Umno bahagian Tanjung, Pulau Pinang pada 1999 sebelum melompat ke Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dilantik sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Beliau kemudian keluar dari PKR berikutan rasa tidak puas hati dengan kepimpinan dalam Pakatan Rakyat pada Februari 2010, dan menjadi anggota Parlimen bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).

Beliau menyertai semula Umno pada Disember tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain