suria

Tidak Perlu Roboh Surau - Tun M

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan mengambil tindakan tepat dengan membatalkan status pemastautin tetap (PR) warga Singapura yang membenarkan upacara keagamaan Buddha diadakan di surau di sebuah resort di Johor.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, keputusan membatalkan PR tidak salah kerana penerimanya gagal menghormati dasar-dasar negara dan sensitiviti agama di negara ini.

"Kerajaan mempunyai hak untuk menganugerah status (penduduk tetap) dan mempunyai hak untuk membatalkan jika seseorang itu tidak mengikut undang-undang. Sama ada anda seorang warganegara atau pemastautin tetap, anda mesti mematuhi undang-undang negara ini," katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu berkata, status PR pengurus sebuah resort di Sedili Besar, Kota Tmggi berusia 45 tahun itu dibatalkan berikutan kemarahan rakyat di negara ini berhubung insiden berkenaan.

Bagaimanapun Dr Mahathir berpendapat bahawa surau berkenaan tidak perlu dirobohkan namun boleh digunakan untuk tujuan lain.

Beliau berkata bangunan itu boleh digunakan untuk kegunaan lain jika rakyat tidak mahu menggunakannya sebagai surau akibat kejadian itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain