suria

RCI: Adun Bingkor Ditunjukkan Senarai Warga Asing Peroleh Kad Pengenalan Malaysia

KOTA KINABALU: Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bingkor Datuk Jeffrey Kitingan memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di Sabah bahawa seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan kepada beliau senarai kira-kira 60,000 warga asing yang memperoleh kad pengenalan Malaysia pada 1990-an.

Jeffrey, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini dimansuhkan, berkata beliau membangkitkan perkara itu kepada parti yang pernah dianggotainya Parti Bersatu Sabah (PBS) dan laporan polis dibuat oleh setiausaha parti ketika itu Datuk Radin Malleh.

"Bagaimanapun sehingga kini tiada tindakan diambil," katanya.

Katanya ketika ditunjukkan senarai itu, beliau kehilangan kad pengenalannya dan pergi ke pejabat JPN untuk memohon kad gantian.

"Saya dibawa ke sebuah bilik oleh seorang pegawai yang menunjukkan kepada saya senarai itu dan memberitahu saya dia berasa sedih perkara seperti ini berlaku di Sabah dan mereka yang disenaraikan, yang selepas itu dimasukkan ke dalam daftar pemilih, jumlahnya hanya kecil tetapi lebih ramai lagi yang akan datang," katanya kepada panel lima anggota diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.

Jeffrey turut memberitahu siasatan itu bahawa beliau pernah bertemu seorang lelaki yang dikenalinya sebagai 'Haji' tidak lama dahulu yang menunjukkan kepadanya sekarung kad pengenalan biru yang didakwa dikeluarkan semasa Projek IC yang didakwa sebagai projek kerajaan.

"Pengeluaran kad pengenalan itu akan membawa masalah kepada Sabah dan hakikatnya, Sabah sudahpun berdepan risiko dan contoh terkini adalah pencerobohan di Lahad Datu," katanya, dan mendakwa ramai penceroboh yang terbunuh semasa Ops Daulat Mac lepas dikebumikan kerana mereka memiliki kad pengenalan Malaysia.

Jeffrey berkata masalah kad pengenalan yang dikeluarkan menerusi cara meragukan boleh diperbetulkan menerusi penguatkuasaan undang-undang, penukaran sistem dokumentasi sedia ada dan pembasmian rasuah.

Beliau berkata mereka yang bertanggungjawab mengeluarkan kad pengenalan Malaysia kepada warga asing juga perlu dihukum.

"Jika tidak, masalah ini tidak akan dapat diselesaikan dan akan berulang kerana pihak yang bertanggungjawab tidak dihukum," katanya.

Siasatan itu bersambung esok. - BERNAMA

Artikel Lain