suria

Akta 505 Kekal Diguna Pakai Selepas Rang Undang-Undang Ditarik Balik

KUALA LUMPUR: Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Akta 505) akan terus diguna pakai selepas tiga rang undang-undang yang bertujuan menggantikan dan meminda akta itu, ditarik balik di Dewan Rakyat pada Isnin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, dengan penarikan balik itu bermakna tidak ada sebarang pindaan dibuat terhadap akta asal.

"Ini bermakna Akta 505 yang kita guna sekarang masih kekal dan akta itu tidak ada apa-apa pindaan, baik dalam semua sebab, termasuk pertukaran agama kanak-kanak di bawah 18 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) peringkat kebangsaan di sini, Isnin.

Jamil Khir pada sesi Dewan Rakyat pada Isnin mengusulkan penarikan balik Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2013, Rang Undang-undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2013 dan Rang Undang-undang Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2013.

Beliau berkata, penarikan balik rang undang-undang itu diputuskan bagi tujuan memperkemaskannya dengan mengambil kira kepentingan semua pihak.

Katanya, proses konsultasi bersama pelbagai pihak akan dilaksanakan, namun tempoh masa belum ditetapkan.

Dalam perkembangan lain, Jamil Khir berharap majlis agama negeri akan memantau penggunakan institusi masjid bagi memastikan ia tidak digunakan bagi menyampaikan ceramah politik, terutama pada kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, di Terengganu.

"Kuasa agama di bawah negeri masing-masing, jadi kami amat mengharapkan kerajaan negeri dengan majlis agama negeri dalam soal ini, sebab Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) adalah penyelaras di bahagian pusat tetapi penguatkuasaan agama di bawah kuasa negeri," katanya.

Pada majlis anugerah itu, dua pelajar iaitu Mohd Ridwan Hakim Mohd Fadzali dan Muhammad Hafiz Hussin masing-masing menerima Anugerah Perdana UPKK dan STAM peringkat kebangsaan 2012.

Seramai 14 orang pelajar lagi menerima Anugerah Pelajar Cemerlang UPKK 2012 dan 11 orang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang STAM 2012. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain