suria

Dakwaan Rogol Cemar Sukma, Serah Kepada Polis Siasat - Zolkples

Zolkples Embong.
Zolkples Embong.
Zolkples Embong.

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN), selaku penganjur temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-16, akan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes rogol seorang atlet yang dilaporkan berlaku semasa temasya itu, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zolkples Embong.

"Saya pun baru diberitahu mengenai perkara itu pagi ini. Mengikut laporan (sebuah akhbar tempatan), ia sudah menjadi kes polis, jadi kita serahkan kepada polis untuk lakukan siasatan.

"Kes seumpama itu pertama kali berlaku dalam sejarah temasya Sukma dan ia mencemarkan imej Sukma kali ini," kata Zolkples, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sukma 2013, pada sidang media di Pusat Media Utama Sukma, MSN Bukit Jalil di sini, Ahad.

Media melaporkan seorang atlet bola baling telah membuat laporan polis mendakwa dirogol sekumpulan atlet lelaki di Perkampungan Sukan Sukma 2013 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Rabu lepas.

Akhbar pada Ahad melaporkan remaja berusia 19 tahun itu mendakwa dirogol bergilir-gilir dalam keadaan separuh sedar di bilik penginapan sebuah kolej universiti itu.

Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang dan susulan itu, polis menahan tiga atlet semalam untuk membantu siasatan.

Zolkples berkata, pihaknya mendapat kerjasama polis dan UPM dalam memastikan kawalan keselamatan terjamin di Perkampungan Sukan.

Beliau berkata, pegawai keselamatan hanya mengawal di persekitaran kawasan Perkampungan Sukan dan tidak melakukan pemeriksaan dari bilik ke bilik atlet.

"Kita mempunyai hampir 4,000 atlet di Perkampungan Sukan, tidak mungkin kita memeriksa setiap bilik. Kita juga mengadakan pengasingan blok mengikut jantina bagi tujuan keselamatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain