suria

Bekalan Elektrik Mikro Hidro Milik Masyarakat Akan Diperkenal - Shafie

SUBANG (JAWA BARAT): Bekalan elektrik sistem mikro hidro milik masyarakat akan diperkenal di kampung di kawasan pedalaman Malaysia dalam usaha menyampaikan keperluan asas itu kepada penduduk, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata projek berkenaan, yang dijangka dapat dilaksana pada tahun depan, akan dibangun menerusi peruntukan kerajaan namun selepas itu, masyarakat tempatan sebagai pemegang saham, akan mengurus dan mengendali stesen jana kuasanya sendiri.

"Ini satu konsep yang mana pembekalan elektrik ke luar bandar yang berlandaskan teknologi yang mudah dan penglibatan masyarakat menerusi koperasi, dan ia terbukti berjaya dari segi kos operasi yang rendah.

"Konsep ini agak menyeluruh, bukan hanya berteraskan kepada pembekalan elektrik tetapi juga hasil pendapatan yang diperoleh koperasi akan diagih kepada masyarakat dalam bentuk bantuan pelajaran dan kebajikan," katanya selepas meninjau stesen jana kuasa elektrik mikro hidro di Kampung Cinta Mekar, Subang, Jawa Barat di sini, Sabtu.

Mohd Shafie yakin bekalan elektrik mikro hidro berlandaskan konsep ini akan memberi faedah positif kepada penduduk di kawasan pedalaman yang mempunyai banyak sungai, khususnya di Sarawak.

"Projek bekalan elektrik ini dimasyarakatkan. Ia dimiliki oleh mereka. Ini yang kita mahukan supaya semangat kekitaan dan pemilikan pembangunan ini harus melibatkan masyarakat," katanya.

Beliau berkata projek stesen janakuasa elektrik mikro hidro yang bakal diperkenal di Malaysia mengikut konsep berkenaan, dijangka mampu memberi manfaat kepada 47 kampung di Sarawak dan 29 di Sabah. Menteri itu berkata setiap stesen janakuasa berkapasiti menghasilkan 200 kilowatt tenaga elektrik, yang boleh memberi bekalan kepada 400 rumah.

Dalam tinjauan beliau di stesen mikro hidro elektrik Cinta Mekar, Mohd Shafie diberi taklimat oleh pihak Koperasi Mekarsari pimpinan penduduk tempatan.

Projek itu, yang merupakan inisiatif Institut Bisnis dan Ekonomi Kerakyatan bersama syarikat swasta Hidropiranti Inti Bhakti Swadaya serta Suruhanjaya Sosial dan Ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia Pasifik (UNESCAP), mula beroperasi pada 2004 bagi mengatasi masalah bekalan elektrik di kawasan pedalaman Indonesia.

Projek usahasama itu melibatkan penduduk kampung secara langsung sebagai pemegang saham dalam syarikat yang membina, mengoperasi dan menyenggara stesen janakuasa berkenaan.

Sebanyak 50 peratus daripada pendapatan jualan tenaga elektrik kepada Syarikat Elektrik Nasional (PLN) akan menjadi milik koperasi penduduk, dan peruntukan itu diguna bagi membiayai kos pendidikan, bil elektrik penduduk, kos rawatan, kos pembinaan infrastruktur lain serta pinjaman modal kepada usahawan kampung. - BERNAMA

Artikel Lain