suria

Hakim Tarik Diri Dengar Kes Pemuda Tunjuk Isyarat Lucah

GEORGE TOWN: Hakim Mahkamah Tinggi di sini yang dijadual mendengar rayuan seorang juruukur bahan berhubung kes menunjukkan isyarat lucah kepada Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah dan seorang pegawai polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas pada Februari lepas, menarik diri daripada mendengar kes itu pada Jumaat.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam R.S.N Rayer yang mewakili perayu Leong Pei Koe supaya hakim mengecualikan dirinya daripada mendengar rayuan berkenaan.

Dalam permohonan itu, Rayer berkata Zamani telah membuat pernyataan prejudis semasa rayuan itu disebut di hadapannya pada 15 Mei lepas.

"Setelah membaca afidavit yang dikemukakan, saya bersetuju seperti mana yang terdapat dalam notis usul perayu. Saya menarik diri daripada mendengar rayuan ini dan mengarahkan rayuan ini didengar oleh hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang lain," katanya.

Zamani berkata tarikh untuk mendengar rayuan itu akan diputuskan mahkamah dalam tempoh terdekat.

Pada 7 Mac lepas, Leong memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara sebulan dan denda RM8,000 yang dijatuhi Mahkamah Majistret Balik Pulau dekat sini pada 13 Februari lalu selepas dia mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, Leong, 29, didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada Raja Permaisuri Agong ketika kenderaan rasmi baginda melalui balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, dekat sini pada 11 Februari lepas.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama kepada pegawai polis ASP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid di tempat, masa dan tarikh yang sama. - BERNAMA

Artikel Lain