suria

'1MWER 2013' Dimensi Baharu Produk Pelancongan Negara - Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan harapan agar pasukan '1Malaysia World Endurance Ride 2013' (1MWER 2013) yang dilancarkan pada Khamis dapat membuka dimensi baharu bagi produk pelancongan negara iaitu pelancongan bermotosikal.

Beliau berkata anggota pasukan 1MWER 2013 itu juga merupakan 'duta kembara' bagi Malaysia dalam usaha mempromosikan negara sebagai destinasi pelancongan menarik.

"Slogan 'Global Moderation for Peace' yang dibawa pasukan ini juga dapat mewakili negara membawa mesej keamanan dalam memperjuangkan kesederhanaan global bersesuaian dengan gagasan Gerakan Kesederhanaan Global," katanya.

Perdana menteri berkata demikian ketika berucap melancarkan program Kembara Dunia 1Malaysia dan melepaskan ekspedisi bermotosikal merentas dunia pasukan '1Malaysia World Endurance Ride 2013' di sini.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Pengerusi Bank Rakyat Tan Sri Sabbaruddin Chik.

Najib berkata pengembaraan pasukan itu yang meliputi lebih 50 buah negara, melangkaui perjalanan sejauh 50,000 kilometer dalam tempoh enam bulan merupakan satu cabaran yang amat besar dan berisiko tinggi kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku. - BERNAMA

Artikel Lain