suria

Warga Indonesia Dipenjara Tiga Tahun, Tiga Sebatan Kerana Merogol

PETALING JAYA: Seorang warga Indonesia dihukum penjara tiga tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini Jumaat kerana merogol seorang pelajar berusia 15 tahun, bulan lepas.

Hakim, Suraiya Mustafa Kamal menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Subeh Satuki, 27, pencuci kereta, setelah dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan memerintahkan hukuman bermula dari tarikh beliau ditangkap pada 25 Mei lepas.

Subeh yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kediaman di sini, pada 3.15 petang, 25 Mei lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditangkap di dalam rumah bersama dengan mangsa dan berdasarkan keterangan yang diberikan pelajar itu, dia mengenali lelaki tersebut menerusi laman sosial Facebook.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras. - BERNAMA

Artikel Lain