suria

Jangan Pisahkan Trio Kepimpinan Ulama, Profesional & Aktivis Dalam PAS – Nasrudin

Nasrudin Hassan
 Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

PETALING JAYA: Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi menyeru agar semua pihak tidak memisahkan antara trio kepimpinan ulama, golongan profesional dan aktivis dalam parti itu.

Nasrudin berkata kepimpinan ulama telah diasaskan sejak 1982 yang lalu dan menjadi konsep kepimpinan yang sangat berjaya menjulang PAS sebagai sebuah Gerakan Islam Kontemporari yang disegani dari dalam dan luar negara.

Menurutnya kepimpinan tersebut harus terus dipertahankan kerana ulama, memerlukan golongan profesional dan aktivis bagi memacu perjuangan parti.

"Ulama diperlukan untuk terus memimpin dan mentarbiahkan serta memandu perjuangan parti. Golongan ulama dan profesional juga tidak boleh meminggirkan para aktivis PAS untuk melaksanakan tugas besar perjuangan ini agar ia dapat dipikul bersama dalam usaha menempa kejayaan yang gemilang.

"Kepimpinan ulama bukan istilah atau slogan ia juga bukan konsep untuk memisahkan trio kepimpinan PAS yang berlangsung sejak dulu," katanya dalam satu kenyataan daripada Arab Saudi pada Jumaat.

Sebaliknya, beliau menegaskan kepimpinan ulama adalah konsep kepimpinan ilmu dan pendokongnya juga golongan yang berilmu serta menepati kehendak Islam dalam memimpin perjuangan parti ke jalan yang benar sekali gus menepati perjuangan Islam.

Justeru, Nasrudin berkata konsep kepimpinan tersebut tidak wajar dipisahkan agar semua unsur baik dan positif dapat memperkukuhkan perpaduan parti.

"Semua pihak mesti menginsafi keperluan trio kepimpinan ini. Ulama, profesional dan aktivis mesti saling kukuh mengukuh bukan runtuh-meruntuh, saling bina membina bukan saling hina-menghina dan saling bentuk-membentuk bukan saling kutuk- mengutuk.

"Oleh itu, semua segmen mempunyai kekurangan tersendiri yang mesti diakui sebagaimana semua segmen itu juga mempunyai kelebihan tersendiri yang mesti dihormati," katanya.

Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh meminta semua kepincangan serta kesilapan perlu segera diatasi agar kepimpinan ulama terus kekal menerajui PAS.

"Jangan rosakkan institusi ulama, profesional dan aktivis yang merupakan institusi penting untuk kekal dan wujud dalam bahtera perjuangan ini.

"Mana- mana individu yang meletakkan diri mereka bertentangan dengan dasar dan matlamat perjuangan Islam yang di dokong oleh PAS, hendaklah diluruskan agar ia kembali melandasi matlamat dan dasar perjuangan yang betul," katanya.

Jelasnya, kepimpinan ulama yang dipamerkan PAS menggandingkan semua segmen ini melahirkan kehebatan yang meletakkan PAS mampu bersaing di pentas politik moden pada hari ini.

"Lantaran itu, usah tolak kepimpinan ulama sebaliknya tolak individu atau mereka yang membocorkan rahsia parti, mereka yang menikam parti dari belakang, mereka yang menabur fitnah dan tohmahan dalam parti.

"Bahkan mereka yang melaga-lagakan pemimpin dan 1001 salah laku yang mesti diaudit dengan teliti terlebih dahulu sebelum memuktamadkan tindakan," katanya.

Artikel Lain