suria

PSM Akan Kaji Semula Hubungan Dengan PR Selepas Kekalahan PRU-13

PETALING JAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan mengkaji semula hubungan dengan Pakatan Rakyat (PR) selepas kalah dalam pilihan raya umum 13 (PRU-13) kerana didakwa melakukan taktik tertentu terhadap calon-calon mereka.

"Isu ini akan dibawa untuk perbincangan pada kongres tahunan kami pada 28 Jun.

"Kami menyerahkan kepada ahli-ahli kami untuk membuat keputusan jika kita perlu meneruskan hubungan dengan Pakatan Rakyat," kata Setiausaha Agung PSM S. Arutchelvan, sambil menambah keputusan untuk berkerjasama dengan pakatan pembangkang dibuat pada Kongres parti ke-14 pada Jun tahun lepas.

Beliau menambah PSM juga menuntut pertemuan dengan pemimpin PKR dan PAS berhubung kerusi negeri Kota Damansara dan Semenyih di Selangor.

"Kita mahu penjelasan daripada PAS atas kehilangan kerusi Kota Damansara, dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang merujuk kita sebagai komunis," katanya.

Arutchelvan berkata PKR juga perlu menjelaskan peranannya di atas kekalahan PSM di Semenyih.

Pada 6 Mei, Presiden PSM Dr Mohd Nasir Hashim berkata kekalahan di Kota Damansara adalah disebabkan oleh undi yang berpecah dan "dicuri" oleh calon PAS.

Calon BN Halimaton Saadiah Bohan mendapat 16,387 undi berbanding Dr Nasir 14,860 dan Ridzuan Ismail (PAS) 7,312.

Arutchelvan dikatakan menjadi mangsa politiking dalaman PR di Semenyih yang menyaksikan calon BN Datuk Johan Abdul Aziz mendapat 17,616 undi berbanding calon PKR Hamidi Hasan 13,471 manakala beliau hanya mendapat 5,568 undi.

PSM juga bertanding di kerusi Parlimen Sungai Siput dengan penyandangnya Dr Michael Jeyakumar berjaya mempertahankan kerusi itu sambil M. Sarasvathy kehilangan kerusi DUN Jelapang.

Artikel Lain