suria

Eksport teh hijau Jepun capai paras tertinggi dalam tempoh 70 tahun, ramai obses minum matcha

Minuman matcha semakin popular pada tahun ini. -Gambar hiasan AI

EKSPORT teh hijau Jepun bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini mencapai paras tertinggi dalam tempoh lebih 70 tahun, didorong oleh permintaan luar negara yang melonjak terhadap serbuk matcha serta penyusutan nilai yen Jepun, menurut data kerajaan dan industri pada Sabtu.

Eksport teh antara Januari hingga Oktober meningkat 44 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu kepada 10,084 tan. 

Amerika Syarikat menjadi destinasi utama dengan import sebanyak 3,497 tan dalam tempoh 10 bulan itu, diikuti Taiwan, Thailand dan Jerman.

Eksport teh hijau meningkat selama sembilan tahun berturut-turut, mencerminkan peningkatan populariti makanan Jepun dalam kalangan pengguna luar negara yang mementingkan kesihatan.

Walaupun jualan luar negara meningkat, jumlah penghantaran tahunan kekal di bawah 10,000 tan selepas mencapai kemuncak 11,553 tan pada 1954, sebahagiannya berikutan peningkatan populariti teh China.

Walaupun permintaan teh hijau dalam Jepun lembap, harganya menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini sejajar dengan penurunan pengeluaran.

Menurut sebuah koperasi pertanian di wilayah barat daya Kagoshima, daun teh yang dihasilkan antara Oktober hingga November yang lazimnya digunakan untuk minuman teh botol, dijual melebihi 2,500 yen atau sekitar AS$16 (RM66)  sekilogram, melonjak enam kali ganda berbanding setahun sebelumnya. - Kyodo News.

 

Artikel Lain