suria

Suami isteri ditahan, buat 'live' judi ikan laga di TikTok 

Ikan Laga adalah sejenis ikan air tawar yang berasal dari dari Asia Tenggara. -Gambar hiasan AI

SEPASANG suami isteri ditahan polis selepas disyaki menjalankan kegiatan perjudian ikan laga secara dalam talian menerusi siaran langsung di aplikasi TikTok.

Pasangan yang masing-masing berusia 39 dan 32 tahun, itu ditahan pada Sabtu.

Menurut polis, pasangan itu menggunakan kaedah mempertarungkan ikan laga secara langsung, manakala penonton yang berminat boleh membuat pertaruhan menggunakan hadiah digital bernilai antara 50 hingga 200 syiling bagi setiap perlawanan.

“Nilai 50 syiling bersamaan Rp50,000 (RM15), manakala 100 syiling bernilai Rp100,000 (RM30) dan seterusnya mengikut gandaan,” kata Ketua Subdirektorat Siber V, AKBP Dwi Utomo.

Kejadian dilapor berlaku di Palembang, Indonesia.

Menurutnya, daripada jumlah pertaruhan itu, pasangan berkenaan mengambil keuntungan sebanyak 10 peratus. 

Dalam satu sesi siaran langsung, mereka mampu meraih keuntungan sehingga Rp7 juta (RM2,100).

Siasatan mendapati suami berperanan sebagai individu yang mempertarungkan ikan laga, manakala isterinya bertindak sebagai pentadbir yang merekodkan peserta serta nilai pertaruhan.

Kegiatan perjudian itu terbongkar hasil rondaan siber polis yang mengesan aktiviti mencurigakan di sebuah akaun TikTok. 

Susulan itu, polis menjalankan siasatan sebelum menahan pasangan tersebut ketika mereka sedang bersiaran langsung di kawasan Jalan Jenderal Sudirman, Palembang.

Hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek berasal dari Prabumulih, Sumatera Selatan, dan telah menjalankan kegiatan perjudian itu sejak tiga bulan lalu.

Polis turut merampas beberapa barangan bukti termasuk akuarium, balang dan bekas ikan cupang, akaun TikTok yang digunakan serta rekod bertulis peserta pertaruhan.-Agensi

Artikel Berikut

Artikel Lain