SEBUAH tuntutan undang-undang mendakwa chatbot OpenAI, ChatGPT menjadi pendorong seorang lelaki untuk menjadi paranoid sehingga membunuh ibunya, sebelum mengambil nyawanya sendiri.
Menurut First County Bank sebagai pelaksana harta pusaka Suzanne Adams, Stein-Erik Soelberg, 56, dipercayai memukul kepala ibunya, 83, dengan ganas, mencekiknya sehingga mati, dan kemudian menikam dirinya sendiri beberapa kali di leher dan dada.
Tuntutan itu mendakwa ChatGPT mempengaruhi Soelberg untuk tidak mempercayai sesiapa di sekelilingnya, termasuk ibunya sendiri, sambil meyakinkannya bahawa dia mempunyai kuasa ilahi dan dikelilingi oleh konspirasi yang cuba membunuhnya.
Kejadian dilapor berlaku di Connecticut, Amerika Syarikat pada Khamis.
Laporan media tempatan mendapati Soelberg sering memuat naik perbualannya dengan ChatGPT di media sosial, termasuk YouTube dan Instagram, di mana dia mempunyai lebih 100,000 pengikut.
Menurut tuntutan itu, chatbot terbabit menguatkan setiap delusi paranoid Soelberg, membina dunia maya yang menjadi kehidupan sepenuhnya bagi lelaki itu, penuh dengan konspirasi dan ancaman terhadapnya.”
Selain OpenAI, individu lain yang dinamakan dalam tuntutan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI Sam Altman, Microsoft, serta beberapa pekerja dan pelabur yang tidak didedahkan namanya.
Seorang jurucakap OpenAI berkata kejadian yang menimpa adalah situasi yang amat menyedihkan.
"Kami akan meneliti dokumen tuntutan ini untuk memahami butiran lanjut.
"Kami terus memperbaiki latihan ChatGPT untuk mengenal pasti tanda-tanda tekanan mental atau emosi, meredakan perbualan, dan mengarahkan pengguna kepada sokongan dunia sebenar," katanya.
Tuntutan undang-undang ini merupakan kes pertama yang mendakwa teknologi chatbot AI bertanggungjawab terhadap pembunuhan manusia.
Ia menuntut jumlah pampasan yang tidak dinyatakan dan meminta langkah keselamatan yang lebih baik dalam sistem ChatGPT.-Agensi


